Kemaskini: Permainan tersebut kini boleh dimuat-turun semua.
Muat-Turun PS4: Call Of Duty: Warzone
Muat-Turun Xbox One: Call Of Duty: Warzone
Muat-Turun PC: Call Of Duty: Warzone
Artikel asal: Seperti yang tertiris sebelum ini, Activision dan Infinity Ward hari ini akhirnya mengumumkan permainan pertempuran royale berdasarkan siri Call Of Duty iaitu Call Of Duty: Warzone akan dilancarkan lewat hari ini di konsol PlayStation 4, Xbox One dan PC.
Seperti yang dilaporkan, permainan ini akan dilancarkan secara percuma buat semua pemain, namun bagi pemilik Call Of Duty: Modern Warfare, mereka berupaya untuk mengaksesnya lebih awal beberapa jam.
Seperti permainan pertempuran royale lain, permainan ini akan meletakkan pemain di dalam satu pulau yang besar dan bertempur sesama sendiri untuk menjadi pasukan terakhir yang masih bernyawa ketika penghujung sesi permainan.
Menariknya, Warzone disahkan akan menyokong lebih dari 150 pemain di dalam satu pulau yang luas secara berpasukan sebanyak 3 pemain sepasukan dan juga mod baharu yang dipanggil Plunder di mana ia memfokuskan pemain untuk mengumpul barangan pertempuran Cash. Pemain juga boleh gunakan mata wang Cash tersebut untuk membeli senjata, kelengkapan dan sebagainya di dalam permainan ini.
Selain itu, seperti permainan Call Of Duty: Modern Warfare, Call Of Duty: Warzone juga disahkan akan mempunyai sokongan rentas-platform antara konsol dan PC, termasuklah kemajuan watak daripada permainan Modern Warfare. Sekaligus buat pemilik Battle Pass di Modern Warfare, Activision sahkan ia boleh di bawa ke permainan Warzone yang mana mereka berkongsi kedai di dalam permainan yang sama.
Bagi pemain Malaysia, Call Of Duty: Warzone akan boleh mula dimuat-turun pada jam 11 malam ini bagi pemilik Call Of Duty: Modern Warfare. Manakala bagi pemain lain, ianya akan boleh mula dimuat-turun secara percuma lewat malam ini, pada jam 3 pagi pada 11 Mac 2020.
Bagi platform PlayStation 4, permainan ini tidak memerlukan langganan PlayStation Plus untuk dimainkan.
Jadi bagi anda yang tidak sabar untuk bermain permainan pertempuran royale seterusnya oleh Activision, anda tampaknya perlu berjaga lewat malam ini untuk mula mencubanya.