Skip to main content

Koleksi permainan Mega Man bukanlah satu perkara yang asing oleh Capcom di mana sebelum ini, mereka juga melancarkan koleksi siri klasik Mega Man dan juga Mega Man X yang mana kami boleh katakan adalah satu koleksi permainan yang baik buat mereka yang minati siri Mega Man.

Terkini, Capcom meneruskan lagi koleksi legasi permainan mereka buat siri Mega Man Zero dan Mega Man ZX yang mana siri ini sebelum ini dilancarkan di konsol Game Boy Advance dan Nintendo DS, yang kami boleh katakan adalah satu siri yang kurang dihargai.

Memandangkan siri permainan ini tidak dilancarkan di konsol utama, semestinya tidak ramai berpeluang untuk bermainnya dan kini dengan pelancaran koleksi permainan ini, kami berpeluang untuk mencubanya dan mengenangkan kembali keenam-enam siri Mega Man Zero dan Mega Man ZX yang kami boleh katakan adalah satu siri Mega Man yang sangat baik sekali.

Melalui Mega Man Zero/ZX Legacy Collection, ianya menyertakan 6 permainan di dalam satu berkas iaitu:

  • Mega Man Zero
  • Mega Man Zero 2
  • Mega Man Zero 3
  • Mega Man Zero 4
  • Mega Man ZX
  • Mega Man ZX Advent

Namun, adakah berkas ini berbaloi buat peminat ataupun bukan peminat siri Mega Man? Ini adalah ulasan kami.

Cerita

Bagi anda yang baru dengan siri Mega Man Zero, ianya merupakan siri permainan yang ditempatkan di dunia yang sama dengan siri Mega Man X, namun ianya diletakkan di berkurun abad selepas siri Mega Man X di mana permainan ini bermula dengan peperangan antara manusia dan robot yang memberontak iaitu Reploid.

Pada permulaan permainan ini, Ciel menghidupkan semula Zero, untuk menyelamat mereka daripada di serang oleh sepasukan Reploid yang ingin membunuh mereka dan penceritaan permainan ini diteruskan melaluinya.

Apa yang membuatkan permainan ini berasa sangat menarik adalah penceritaan permainan ini adalah sangat mendalam dan terdapat beberapa saat yang sangat mengasyikkan terutamanya jika anda mengikuti siri Mega Man X. Atas sebab permainan ini bertempatkan di dunia yang sama dengan siri Mega Man X, semestinya terdapat beberapa watak yang kembali dan membuatkan siri Mega Man Zero adalah sangat seronok sekali.

Manakala untuk Mega Man ZX pula, ianya bertempatkan beberapa abad selepas Mega Man Zero dan penceritaannya memfokuskan satu kuasa ataupun “Batu” Biometal, yang berupaya untuk mengubah seseorang untuk mempunyai kuasa-kuasa Mega Man. Semestinya konsep ini agak berlainan, namun ianya juga banyak mengambil watak-watak dari siri sebelum ini melalui kuasa Biometal tersebut.

Semestinya saya sendiri tidaklah menggemari keseluruhan penceritaan Mega Man ZX, namun saya menghargai beberapa aspek penceritaan permainan ini atas sebab ianya bertempatkan di dunia yang sama dan pada masa yang sama, Capcom masih lagi cuba untuk menyampai penceritaan baru untuk siri Mega Man.

Meskipun begitu, keseluruhan permainan yang terdapat di dalam koleksi ini semestinya merupakan satu penceritaan yang sangat menyeluruh dan padat di mana bagi peminat mahupun bukan peminat siri Mega Man, pasti akan menghargai apa yang Capcom sediakan.

Grafik

Secara keseluruhan, tidak banyak yang saya boleh katakan berkenaan grafik. Ini adalah kerana permainan ini asalnya dilancarkan di konsol Game Boy Advance dan Nintendo DS, yang mana pasti bukanlah satu konsol berkuasa untuk memaparkan visual grafik 3 dimensi.

Meskipun begitu, walaupun dengan visual pixel, koleksi permainan ini masih lagi menyertakan 3 tetapan utama dari segi aspek visual yang mana sangat bagus pada pendapat saya sendiri. Semestinya ianya tidaklah mengubah keseluruhan bentuk permainan, namun ianya masih lagi satu usaha yang bagus bagi pihak Capcom.

Walaupun begitu, saya agak kecewa yang mana Capcom tidak membaiki beberapa aspek lain terutamanya dari segi paparan antaramuka yang berasa agak kabur dan juga teks-teks dialog yang kelihatan terlalu besar akibat permainan asalnya di letakkan di skrin yang lebih kecil.

Akan tetapi, itu hanyalah aduan kecil saya sahaja dan secara keseluruhan, saya sudah berpuas hati atas sebab berupaya untuk bermain semula salah satu permainan dan siri kesukaan saya dari Game Boy Advance beberapa tahun lepas.

Untuk permainan Mega Man ZX dan ZX Advent, ianya juga menyertakan beberapa adegan animasi yang mana Capcom juga tidak melepaskan peluang untuk tingkatkan kualiti anime tersebut dan jika ingin dibandingkan dengan visual di konsol Nintendo DS sebelum ini, semestinya kualiti yang dipaparkan melalui permainan ini adalah lebih baik.

Audio

Dari segi audio, semestinya permainan ini tidaklah membaiki sebarang audio utama memandangkan kebanyakan permainan ini adalah dilancarkan di konsol Game Boy Advance hampir 18 tahun lepas.

Segala kelancaran muzik adalah sekadar baik sahaja tanpa sebarang pernaik-tarafan audio yang jelas. Sepanjang sesi permainan saya, saya masih lagi merasa audio muzik permainan ini sama dengan kualiti yang dimainkan saya lebih dari 10 tahun lepas.

Akan tetapi, apa yang mengecewakan saya adalah aspek suara latar bagi permainan Mega Man ZX Advent yang mana sekali lagi, suara latar yang disediakan adalah sama sahaja dengan versi asal, sekaligus ianya agak mengecewakan memandangkan barisan suara latar di dalam permainan tersebut agak mengecewakan dengan kualiti lakonan yang hanya sekadar ada sahaja.

Meskipun begitu, ini tidak bermakna Capcom tidak langsung menghiraukan aspek ini, di mana mereka masih lagi membaiki beberapa aspek utama seperti penyediaan pemain muzik latar dan kelancaran audio yang lebih baik untuk konsol generasi terkini.

Kawalan Permainan

Jika nak bercakap berkenaan aspek kawalan permainan, semestinya tidak banyak yang saya boleh katakan kerana keseluruhan permainan dimainkan seakan sama dengan permainan asalnya yang dilancarkan beberapa tahun lepas.

Namun begitu, saya ingin mulakan ulasan kawalan permainan ini dengan permainan Mega Man ZX dan Mega Man ZX Advent dahulu atas sebab kedua-dua permainan ini menggunakan beberapa tetapan skrin sesentuh, atas sebab ianya dilancarkan di konsol Nintendo DS.

Apa yang diterjemahkan melalui koleksi ini adalah sangat baik sekali dari segi aspek penggunaan skrin kedua di mana jika anda lihat imej di atas, Capcom membahagi ruangan skrin kedua di bahagian tepi utama skrin permainan ini yang mana kemudiannya pemain boleh menggerakkan kursor sentuh tersebut dengan menggunakan butang analog R3.

Semestinya dengan konsep ini ianya bukan sahaja memudahkan pemain untuk membuat pilihan pengubahan Biometal di dalam siri permainan Mega Man ZX, malah ianya berasa sangat mudah dan senang untuk diakses tanpa perlu melepaskan butang kawalan utama berbanding permainan asalnya di konsol Nintendo DS.

Dari segi aspek yang lain, secara asasnya permainan Mega Man ZX dan ZX Advent mengekalkan konsep yang sama di mana ianya memfokuskan ‘senjata’ Biometal berdasarkan kemahiran dan watak-watak Mega Man sebelum ini.

Pada permulaan permainan Mega Man ZX, pemain akan dilengkapkan dengan Biometal X, yang seakan rekaan dan senjata asal watak Mega Man X. Setelah pemain meneruskan permainan tersebut, pemain kemudian akan menyah-kunci pelbagai lagi senjata Biometal lain, dan setiap satunya mempunyai kemahirannya tersendiri. Perkara yang sama boleh dikatakan untuk permainan kedua iaitu ZX Advent di mana sekali lagi, peranan dan aspek kawalan utama Biometal kembali dan menjadikan bentuk utama permainan tersebut.

Akan tetapi, antara aspek utama di dalam siri Mega Man ZX adalah bentuk “MetroidVania” yang mana ianya menempatkan pemain di dalam satu ruangan yang besar dan pemain berupaya untuk meneroka peta kawasan tersebut secara bebas.

Semestinya konsep ini adalah tidak asing untuk siri Castlevania dan Metroid, akan tetapi penyertaan konsep ini di dalam siri Mega Man sedikit sebanyak agak pelik dan janggal. Walaupun ianya tidak merosakkan keseluruhan permainan, namun konsep ini masih lagi akan menyusahkan pemain di samping misi-misi yang pemain perlu lakukan termasuklah misi sampingan untuk meneruskan permainan ini. Ianya tidak membantu juga di mana peta mini yang tersedia terlalu ringkas dan membuatkan pemain sukar untuk memahami dan cari jalan untuk ke lokasi seterusnya.

Menariknya, untuk permainan Mega Man ZX dan Mega Man ZX Advent, pemain juga boleh memilih watak sama ada watak lelaki ataupun perempuan. Secara amnya, ianya ada sedikit berbezaan dari segi penceritaan kecil sahaja. Namun dari segi kawalan permainan, kedua-dua watak tersebut adalah sama sahaja.

Manakala untuk permainan Mega Man Zero, bentuk kawalan asal juga tidaklah terlalu banyak berubah berbanding permainan asalnya. Zero seperti biasa akan bermula dengan Mega Man Zero pertama yang mempunyai senjata yang agak terhad dan kemudian pemain akan mendapat pelbagai jenis senjata yang mana kebanyakkan senjatanya adalah sangat unik dan menarik untuk permainan ini.

Dari segi aspek lain, siri Mega Man Zero seperti biasa menyertakan satu lokasi pangkalan utama untuk pemain terokai dan pemain kemudian boleh memilih ke lokasi musuh-musuh untuk melakukan misi yang tersedia. Ianya lebih ringkas jika ingin dibandingkan siri Mega Man ZX yang saya terangkan di atas.

Selain itu, saya juga menyukai aspek tahap kesukaran yang lebih mudah untuk permainan ini di mana kali ini, untuk mana-mana siri permainan Mega Man yang terdapat di dalam koleksi ini, pemain berupaya untuk memilih tahap kesukaran yang lebih mudah. Ini bukan sahaja akan memudahkan pemain untuk menumpas musuh, malah Capcom juga menyediakan beberapa barangan dan kelengkapan lebih awal, untuk mempercepatkan pemain menghabiskan penceritaan permainan ini.

Selain itu, untuk memudahkan lagi pemain, permainan ini juga menyertakan beberapa lokasi penyimpanan pantas yang mana sekali lagi memudahkan pemain untuk menyambung semula daripada lokasi terdekat jika pemain ditumpaskan oleh musuh.

Konsep ini juga adalah sangat bagus untuk pemain yang sudah pun bermain permainan ini beberapa tahun lepas dan hanya kembali untuk menikmati penceritaan permainan ini yang mana pada pendapat saya mempunyai penceritaan sangat menarik sekali, seperti yang saya terangkan di atas.

Dari segi pernaik-tarafan kawalan permainan lain, koleksi ini tidaklah membawa sebarang benda baharu dan hanya menyediakan mod Z-Chaser yang akan saya terangkan di bahagian kandungan di bawah.

Kandungan

Kandungan semestinya adalah perkara utama untuk koleksi ini di mana ianya semestinya bukan sekadar satu permainan pernambah-baikkan. Seperti yang saya nyatakan di atas, permainan ini menyertakan enam permainan yang terdiri daripada empat siri Mega Man Zero dan dua siri Mega Man ZX. Selain itu, Capcom juga menyediakan versi bahasa Jepun buat permainan Mega Man Zero yang mana ianya pasti akan menjadi pilihan peminat yang menyukai bentuk dan visual permainan yang lebih ganas berbanding versi global.

Selain itu, seperti siri koleksi permainan Mega Man sebelum ini, Capcom masih lagi menyertakan beberapa kandungan baharu, termasuklah kandungan karya seni dan koleksi muzik latar.

Seperti biasa, koleksi-koleksi tersebut membenarkan pemain untuk melihat senarai karya seni yang dilakukan oleh pembangun-pembangun sebelum ini seperti karya rekaan konsep buat permainan pertama Mega Man Zero dan sebagainya. Menariknya, Capcom juga menyertakan beberapa rekaan karya baharu termasuklah rekaan latar belakang utama permainan ini dengan resolusi tinggi yang pasti kelihatan sangat menawan sekali.

Selain itu, permainan ini juga menyertakan pemain muzik khas untuk pemain mainkan muzik-muzik daripada siri Mega Man Zero dan Mega Man ZX yang mana dihasilkan dengan begitu baik sekali.

Akhir sekali, semestinya saya ingin bercakap berkenaan kandungan baharu yang dibawakan khas melalui koleksi ini iaitu mod Z-Chaser. Seperti permainan koleksi Mega Man X sebelum ini, Z-Chaser adalah seakan mod X-Challenge yang mana ianya menyediakan beberapa peringkat permainan untuk pemain bermain dan menghabiskan secara pantas.

Selain daripada keupayaan untuk memuat-naik markah secara atas-talian dan bandingkan dengan pemain lain, pemain juga boleh bermain sambil melihat gaya pemain yang disediakan oleh pembangun, untuk dijadikan sebagai rujukan ataupun contoh untuk bagaimana untuk menghabiskan sesuatu peringkat tersebut dengan lebih pantas dengan jumlah markah yang tinggi. Semestinya fungsi ini amat memudahkan pemain untuk tingkatkan kualiti pemain dan pada masa yang sama belajar untuk bermain dengan lebih baik.

Kesimpulan

Apa yang saya boleh katakan adalah semestinya koleksi permainan Mega Man Zero/ZX Legacy Collection ini merupakan satu koleksi yang bagus. Ianya bukan sahaja menyertakan siri Mega Man Zero kesukaan saya sendiri, malah ianya juga menyertakan siri Mega Man ZX, yang boleh dikatakan satu siri Mega Man “baharu” dengan elemen Metroidvania.

Selain itu dengan kandungan baharu Z-Chaser dan pelbagai kandungan karya seni, muzik latar dan sebagainya, semestinya koleksi ini akan memuaskan hati peminat siri Mega Man yang mengidam untuk bermain semula permainan ini di konsol terkini.

Walaupun begitu, terdapat beberapa aspek pernaik-tarafan yang saya sendiri harapkan Capcom sertakan termasuklah visual grafik yang lebih baik, namun memandangkan ini hanyalah satu koleksi permainan dan bukanlah olahan semula, saya memahami kenapa Capcom berbuat demikian.

Semestinya koleksi ini dihasilkan khas buat peminat siri Mega Man Zero dan Mega Man ZX yang mana pada pendapat saya sendiri ianya satu koleksi yang memadai buat mereka yang ingin bermain semula permainan ini, terutamanya ingin menikmati semula penceritaan epik Mega Man Zero. Namun buat mereka yang tidak langsung pernah bermain mana-mana siri Mega Man, semestinya ini adalah satu permulaan yang bagus untuk anda terokainya.

Dengan pelancaran koleksi ini, saya juga berharap agar Capcom meneruskan koleksi legasi seterusnya untuk siri Mega Man Battle Network, yang mana juga boleh dikatakan salah satu siri Mega Man yang tidak terlalu menyerlah dan mempunyai bentuk permainan yang menarik.

Penafian: Kod permainan untuk Mega Man Zero/ZX Legacy Collection disediakan oleh Capcom.

Leave a Reply