Spider-Man Into The Spider-Verse sehingga hari ini bagi kami adalah antara animasi terbaik yang pernah kami tonton. Bukan sahaja kerana jalan cerita yang menarik, tetapi filem ini mempunyai arahan seni atau gaya animasi yang lain daripada yang lain dan sangat kreatif. Filem ini dihasilkan oleh Phil Lord dan Christopher Miller. Kini Phil dan Christopher menerbit pula filem animasi baharu, yang diarahkan oleh Mike Rianda (Gravity Falls) – Connected.

Connected menggunakan arahan seni yang lebih kurang sama dengan Spider-Verse. Ia menggabungkan elemn animasi 3D, 2D dan juga rekaan lakaran seakan komik. Secara tidak langsung menjadikan gaya animasi filem Connected ini unik dan berbeza. Tidak seperti filem animasi 3D lain atau Pixar yang sudah klise.

Connected adalah filem mengisahkan kekeluargaan, yang mana Katie Mitchell (lakonan suara Abbi Jacobson), seorang individu kreatif yang diterima masuk ke pusat pengajian idaman. Katie merancang untuk terbang sahaja ke kolej tersebut, tetapi bapa beliau Rick (lakonan suara Danny McBride) bersemangat untuk pandu kereta membawa seisi keluarga agar boleh meluangkan masa bersama-sama sebelum anak perempuan kesayangan sambung belajar.

Akan tetapi, mereka telah diganggu dengan pemberontakan teknologi dari syarikat “Pal”. Semua teknologi seperti gajet, robot, barangan elektrik dan termasuk telefon pintar mempunyai minda tersendiri. Seisi keluarga Katie ini kemudian menjadi adiwira bagi menyelesaikan isu pemberontakan ini dan juga memastikan Katie selamat tiba ke kolej.

Filem ini akan ditayangkan pada 16 September 2020 kelak. Sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini