Awal tahun ini, Sony Interactive Entertainment melancarkan satu aksesori khas buat alat kawalan Dualshock 4 yang mana ianya menyertakan fungsi butang tambahan yang boleh ditetapkan oleh pemain.
Terkini, melalui paten baharu oleh Sony, mereka tampaknya mungkin akan mengembangkan lagi aksesori-aksesori untuk alat kawalan konsol PlayStation.
Berdasarkan paten baharu yang difailkan oleh Sony tahun lepas yang mula diperlihatkan secara umum minggu ini, kelihatan mereka memfailkan satu paten aksesori yang membenarkan alat kawalan Dualshock untuk dicaskan secara nirwayar. Melaluinya, aksesori tersebut boleh dipasangkan di alat kawalan Dualshock, kemudiannya diletakkan di dermaga khas untuk dicaskan.
Buat masa ini, kami sendiri tidak pasti sama ada paten ini adalah untuk alat kawalan Dualshock 4 ataupun Dualshock 5, namun berdasarkan laporan, ianya mungkin juga bakal tiba di alat kawalan konsol PlayStation 5.
Semestinya fungsi ini adalah sangat menarik buat mereka yang ingin tinggalkan alat kawalan Dualshock terus selepas sesi permainan tanpa perlu memasang wayar untuk mengecas dan dengan pelbagai peranti mempunyai fungsi mengecas tanpa wayar, untuk konsol PlayStation seterusnya fungsi ini pasti akan menjadi satu kepentingan sebagai konsol generasi seterusnya.