Seperti yang diumumkan pada minggu lepas, Larian Studio akhirnya memperlihatkan bentuk permainan Baldur’s Gate 3 melalui penstriman langsung hari ini.
Bersama dengannya, mereka juga memperlihatkan video pembukaan untuknya. Ia memperlihatkan Illithids ataupun lebih dikenali sebagai Mind Flayers menaiki Nautiloids untuk menculik manusia. Illithids juga diperlihatkan memasuki sesuatu kepada manusia yang diculik.
Sebelum Illithids dapat melakukan lebih kemusnahan, Githyanki muncul dengan menaiki naga yang memaksa untuk Illithids melarikan diri ke satu tempat yang lain.
Bagi bentuk permainan pula, bagi yang pernah mencuba permainan Divinity Original Sin II, Baldur’s Gate III banyak berkongsi elemen yang sama. Pemain boleh mencipta watak sendiri seorang ataupun lebih untuk membentuk pasukan, pemain juga boleh bermain secara dalam talian dengan pemain lain.
Pilihan kelas watak akan memainkan peranan pada awal permainan dengan pilihan dialog berbeza serta kebolehan yang khusus untuk kelas tersebut. Pada awal penceritaan juga akan mempunyai kelainan berdasarkan kelas, akan tetapi ia tidak lagi memberi kesan apabila sudah maju di dalam permainan ini.
Pertempuran pula akan menggunakan pertempuran mengikut turutan, ia juga tampaknya mempunyai peratusan serangan yang akan menentukan sesuatu serangan tersebut akan kena ataupun tidak, ia menggantikan dadu yang biasa digunakan di dalam permainan papan.
Satu perkara yang berbeza dengan Divinity Original Sin, adegan di dalam permainan adalah secara “cinematic” berbanding sekadar pilihan dialog.
Buat masa ini ia masih tidak mempunyai tarikh pengeluaran akan tetapi ia akan tiba secara eksklusif untuk PC dan Stadia.