Sebelum ini kami ada berkongsi yang mana permainan seterusnya untuk antologi The Dark Pictures oleh Supermassive Games dan Bandai Namco akan dilancarkan iaitu Little Hope.
Terkini, Bandai Namco akhirnya berkongsi satu video acah rasmi buat permainan tersebut disamping memperlihatkan beberapa reaksi-reaksi pemain ketika bermain permainan Man Of Medan sebelum ini.
Semestinya reaksi tersebut juga adalah sebahagian daripada pengakhiran permainan Man Of Medan memandangkan ianya adalah video acah daripada pengakhiran permainan tersebut.
Bagi anda yang tidak mengetahui berkenaan permainan antologi The Dark Pictures, ianya adalah permainan seram oleh pembangun terkenal dengan siri Until Dawn iaitu Supermassive Games dan ianya diterbitkan oleh Bandai Namco.
Permainan ini memfokuskan bentuk permainan bercabang hasil daripada pilihan pemain dengan pelbagai pengakhiran. Permainan pertama, iaitu The Dark Pictures: Man Of Medan sebelum ini telah pun dilancarkan di konsol PlayStation 4, Xbox One dan PC yang mana kami juga telah pun mengulas di bawah.
Manakala permainan seterusnya, iaitu The Dark Pictures: Little Hope yang mana kelihatan memfokuskan watak pelakon terkenal, Will Poulter akan tiba sekitar suku ketiga tahun ini.
Menurut kenyataan Bandai Namco, kali ini ianya akan memfokuskan ahli sihir di perkampungan kecil Little Hope di mana 4 pelajar kolej dan seorang profesor perlu melarikan diri daripada di kejar oleh ancaman “kabus”.
Seperti permainan sebelum ini, Little Hope juga akan memfokuskan bentuk multi-pemain yang pemain boleh bermain secara atas-talian ataupun secara dalam-talian dengan berkongsi alat kawalan DualShock 4 mengikut pilihan watak.
Seperti biasa kami akan mengemaskini sebarang informasi lanjut setelah ia diumumkan.