Skip to main content

2016 lepas, Capcom melancarkan Street Fighter V secara rasmi di konsol dan PC yang mana ianya permainan perlawanan seterusnya buat siri Street Fighter selepas Street Fighter IV beberapa tahun lepas. Meskipun begitu, sejak pelancarannya, Capcom menyertakan pelbagai kandungan tambahan termasuklah beberapa edisi permainan yang mana menyertakan beberapa watak baharu dan mod permainan baharu.

Terkini untuk tahun 2020, Capcom melancarkan secara rasmi satu lagi edisi lengkap untuk permainan Street Fighter V, dengan edisi Champion pada 14 Februari 2020 lepas di konsol PlayStation 4 dan PC. Melalui edisi ini, Capcom menyertakan kesemua watak-watak yang pernah dilancarkan sebelum ini daripada watak penambahan DLC dan juga kandungan bersama-sama mod tambahan yang tiba secara berperingkat sejak ia dilancarkan.

Akan tetapi, setelah 4 tahun permainan asal Street Fighter V dilancarkan, adakah satu lagi edisi “Lengkap” boleh mengubah persepsi untuk masalah permainan ini? Ini adalah ulasan kami.

Grafik & Audio

Sebelum kami ke perkara utama lain, kami pertama sekali ingin kongsikan dahulu beberapa pendapat kami berkenaan audio dan visual permainan ini di mana ketika bermainnya di konsol PlayStation 4 Pro, Street Fighter V: Champion Edition semestinya kelihatan sangat sempurna sekali.

Dengan resolusi 4K dengan sokongan kadar bingkai sesaat sebanyak 60FPS, permainan perlawanan ini semestinya sangat lancar sekali. Kesemua sesi permainan saya tidak langsung mempunyai masalah bahkan saya berasa Capcom berjaya melengkapkan permainan ini sebagai satu permainan perlawanan yang lancar sejak 4 tahun lepas.

Kini dengan edisi ini, semestinya Capcom tidak menghadapi sebarang masalah tersebut bahkan dengan rekaan visual watak yang sangat menarik dengan pelbagai kostum yang tersedia, semestinya Street Fighter V: Champion Edition adalah satu permainan yang sangat menawan untuk dipertontonkan.

Dari segi aspek audio, tidak banyak yang saya boleh katakan memandangkan kesemua sesi permainan saya tidak langsung mempunyai sebarang masalah. Semestinya jika ingin pendapat kritikal, saya boleh katakan terdapat beberapa pelakon suara latar berasa agak pelik untuk mod penceritaan permainan ini. Namun ia tidaklah terlalu merosakkan sesi permainan bahkan ianya hanyalah satu aduan kecil saya sahaja.

Akan tetapi, dari segi muzik dan efek bunyi, kesemua dihasilkan dengan baik, bahkan sepanjang pengalaman saya bermain kesemua siri Street Fighter, permainan ini semestinya adalah edisi lengkap untuk keseluruhan siri tersebut.

Bentuk Permainan

Jadi semestinya bentuk permainan perlawanan memerlukan aspek kawalan yang sangat penting, tepat dan lancar di mana permainan ini bukan sahaja adalah permainan kompetitif, malah ianya sering diperkatakan sebagai satu permainan utama untuk permainan perlawanan bagi industri esukan.

Jadi secara asasnya, Street Fighter merupakan permainan perlawanan yang memfokuskan pertempuran secara dua dimensi. Sekaligus, ianya mempunyai asas gerakan ke hadapan, ke belakang dan melompat sahaja. Namun untuk jenis serangan, ianya terbahagi kepada dua serangan utama iaitu tumbuk dan tendang. Kedua-dua serangan tersebut pula dibahagikan kepada tiga jenis peringkat, iaitu serangan rendah, sederhana dan kuat.

Bagi anda yang bermain siri Street Fighter bertahun-tahun, sudah pasti anda tidak akan mempunyai masalah untuk bermainan permainan ini yang mana ianya sudah pasti adalah satu bentuk permainan asas bertahun-tahun dengan formula yang sama. Meskipun begitu, untuk bagi anda yang baru, semestinya bentuk permainan Street Fighter V adalah lebih ringkas jika ingin dibandingkan dengan kebanyakan permainan perlawanan sekarang ini.

Meskipun begitu, untuk Street Fighter V ini, semestinya Capcom menyertakan beberapa perubahan berbanding permainan asal seperti kemahiran V-Trigger yang menyertakan beberapa kemahiran tambahan mengikut watak yang mana kemahiran tersebut bukan sahaja akan membantu pemain melakukan serangan kombinasi yang lebih panjang, malah terdapat juga kemahiran yang akan membantu pemain daripada diserang oleh musuh. Pada permulaan sesi perlawanan, pemain boleh memilih kemahiran V-Triggers yang pemain ingin lakukan untuk digunakan ketika bertempur.

Dari segi aspek perlawanan, kesemua adalah asas seperti biasa. Pemain boleh mengumpul meter kuasa istimewa dan melakukan kombinasi pergerakan untuk melakukan serangan yang lebih berkuasa, ataupun melakukan serangan kombinasi lain.

Selain itu, permainan ini juga menyertakan mod latihan, mod cabaran, mod misi dan sebagainya yang mana pasti akan membantu pemain untuk berlatih untuk bertempur dengan pemain lain secara atas-talian ataupun bermain mod penceritaan yang tersedia.

Semestinya untuk bercakap berkenaan permainan kompetitif, kita perlu bercakap berkenaan keseimbangan permainan dan pada pendapat saya, setelah empat tahun permainan ini dilancarkan, semestinya Street Fighter V: Champion Edition adalah satu permainan kompetitif yang seimbang dan baik. Dari segi aspek kawalan lain, bentuk permainan dan secara keseluruhan, permainan ini tidak mempunyai sebarang cacat cela utama.

Akan tetapi perkara yang agak mengecewakan adalah Capcom terlalu lama mengambil masa untuk melengkapkan permainan ini yang mana saya sendiri pada mulanya sudah pun tidak lagi menghirau atas segala kandungan yang tiba. Namun, sekurang-kurangnya Capcom tidak meninggalkan permainan ini dan membangun permainan sekuel, dan sokongan yang diberi sepanjang tahun-tahun permainan ini dilancarkan, boleh dikatakan satu usaha yang bagus untuk pihak Capcom sendiri.

Cerita

Dari segi aspek penceritaan, Street Fighter V asalnya tidak menyertakan sebarang bentuk penceritaan yang mendalam. Namun setelah bertahun ianya dilancarkan, Capcom kemudiannya melancarkan satu penceritaan utama yang mana ianya memfokuskan sebilangan watak-watak termasuklah watak baharu Necalli.

Meskipun begitu, secara amnya, penceritaan permainan ini tidaklah begitu mendalam dan kandungan penceritaan bukanlah kandungan baharu buat versi Street Fighter V: Champion Edition. Malah bagi anda yang memiliki versi asal, anda masih boleh mengakses kandungan penceritaan tersebut kerana ianya dilancarkan secara percuma.

Akan tetapi, permainan ini masih lagi menyertakan satu lagi kandungan penceritaan yang mana ianya boleh diakses berdasarkan watak-watak yang tersedia di mana melaluinya pemain boleh bermain dan melihat beberapa adegan untuk watak-watak yang terdapat di dalam permainan ini. Meskipun begitu, adegan yang tersedia hanyalah dalam bentuk lukisan suara sahaja tanpa sebarang adegan seperti penceritaan utama.

Walaupun begitu, ianya masih lagi satu mod yang agak baik memandangkan ianya memaparkan penceritaan buat kesemua watak, sekaligus buat anda yang mengikuti siri dan watak-watak Street Fighter, anda pasti akan hargai apa yang Capcom sertakan.

Selain itu, melalui kemaskini edisi Street Fighter V: Arcade Edition sebelum ini, edisi permainan ini juga menyertakan mod Arked khas berdasarkan siri permainan Street Fighter sebelum ini. Ini semestinya adalah mod nostalgia khas buat mereka yang bermain siri ini beberapa tahun lepas dan menikmati kandungan penceritaan dalam bentuk dan visual permainan terkini.

Dari segi aspek lain, tak banyak yang dipertambahkan di dalam edisi ini memandangkan edisi ini lebih memfokuskan kandungan watak-watak DLC yang dilancarkan sebelum ini.

Kandungan

Jika ingin bercakap berkenaan kandungan, edisi permainan ini semestinya adalah edisi lengkap buat keseluruhan permainan Street Fighter V. Ianya bukan sahaja menyertakan kesemua 40 watak, malah edisi ini juga menyertakan 34 pentas permainan dan lebih dari 200 kostum tambahan yang dilancarkan secara berasingan sebelum ini.

Semestinya dengan versi ini, akses-akses yang pemain perlu beli secara berasingan sebelum ini boleh didapatkan secara terus tanpa perlu mendapatkannya secara berasingan sama ada melalui DLC permainan ataupun membelinya dengan mata wang di dalam permainan, “Fight Money”.

Melalui edisi ini, pemain akan menerima keempat-empat watak bermusim yang dilancarkan sebelum ini bermula dengan watak Alex sehinggalah watak Seth yang dilancarkan bersama dengan edisi permainan ini. Selain itu, seperti yang dinyatakan saya di atas, edisi permainan ini juga akan menyertakan kostum-kostum tambahan lain seperti kostum Mega Man, pelbagai watak dari siri Capcom lain dan sebagainya.

Semestinya dari segi mod permainan seperti mod arked, mod penceritaan dan mod berpasukan kesemuanya disertakan secara percuma sebagai kemaskini percuma untuk permainan asas Street Fighter V. Meskipun begitu, sekurang-kurangnya dengan versi ini, pemain akan terus mendapat kesemua watak-watak dan kostum tanpa perlu untuk membelinya secara berasingan.

Multi-Pemain

Dari segi aspek atas-talian, semestinya permainan ini tidaklah terlalu teruk ketika awal ianya dilancarkan beberapa tahun lepas. Akan tetapi, ini tidak bermakna sesi atas-talian sekarang tidak mempunyai masalah.

Terdapat juga beberapa saat di mana saya sukar mencari pemain ataupun menghadapi beberapa masalah kelambatan ketika bertempur dengan pemain lain secara atas-talian. Ini juga mungkin disebabkan atas aspek Internet saya sendiri yang tidak stabil, walaupun begitu ketika sesi ujian saya dengan menggunakan Internet dengan sambungan wayar, masalah tersebut masih lagi kelihatan.

Walaupun begitu, dari segi keseluruhan, secara puratanya dalam 5 sesi pertempuran saya di atas talian, hanya 1 daripadanya sahaja yang bermasalah. Semestinya ini adalah peningkatan yang tinggi jika ingin dibandingkan masalah atas-talian Street Fighter V beberapa tahun lepas.

Ini juga boleh dikatakan Capcom sentiasa terus tingkatkan pengalaman sesi permainan atas-talian permainan ini yang mana saya pasti ianya akan menjadi semakin lancar pada masa-masa akan datang.

Selain daripada itu, aspek atas-talian seperti penetapan profil seperti rekaannya, tetapan watak dan sebagainya semestinya agak ringkas dan seakan kebanyakan permainan kompetitif lain. Semestinya kandungan ini adalah bagus untuk apa yang disampaikan dan saya sendiri tidak mempunyai sebarang aduan berkenaannya.

Kesimpulan

Jika ingin disimpulkan, semestinya permainan Street Fighter V: Champion Edition adalah versi terbaik sekali untuk anda yang masih belum memiliki permainan Street Fighter V. Ianya bukan sahaja mempunyai bentuk permainan yang seimbang dengan pelbagai pilihan watak yang unik dan menarik, malah ianya juga adalah satu bentuk permainan kompetitif yang sangat seronok bersama-sama dengan pelbagai kandungan solo yang menarik dari mod arked sehinggalah mod penceritaan.

Walaupun begitu, permainan ini masih lagi boleh dikatakan hanyalah satu edisi permainan yang dimampatkan sahaja daripada kandungan yang dilancarkan sebelum ini dengan menyertakan beberapa watak baharu sahaja. Semestinya buat anda yang mengikuti permainan ini sejak 2016 lepas, anda mungkin tidak berminat untuk dapatkan permainan ini.

Meskipun begitu, Capcom masih lagi menyertakan kit pernaik-taraf dari edisi biasa ke edisi Champion Edition dengan harga yang murah buat mereka yang sudah pun memiliki permainan asal Street Fighter V. Semestinya dengan pilihan ini, sekurang-kurang pemain asal tidaklah berasa begitu ketinggalan.

Dengan ini, saya juga ingin akhiri ulasan ini dengan menyatakan bahawa buat anda yang ingin edisi lengkap permainan Street Fighter V, Street Fighter V: Champion Edition adalah pilihan terbaik untuk anda buat masa ini. Bahkan, saya sendiri sangat mengesyorkan anda untuk mendapatkan permainan ini jika anda pernah bermain mana-mana permainan Street Fighter sebelum ini.

Penafian: Kod permainan untuk Street Fighter V: Champion Edition disediakan oleh Capcom.

Leave a Reply