Skip to main content

Kemaskini: Universal International Pictures mengumumkan yang mana tarikh tayangan filem The Hunt di Malaysia ditukarkan kepada 9 April 2020, iaitu seminggu lebih awal dari tarikh rasmi sebelum ini.

Artikel asal: Anda ingat lagi atau tidak dengan francais filem The Hunger Games? Ia adalah filem yang menempatkan beberapa mangsa dari 12 daerah berbeza dalam satu kawasan tertutup. Setiap “mangsa” terpilih ini perlu berbunuh antara satu sama lain untuk hidup. Mangsa-mangsa ini ada yang dipilih dan ada juga yang mewakilkan diri mereka. Kemudian ada juga filem The Purge yang perlu bunuh-membunuh dan fokus kepada menyelamatkan diri. Tetapi filem ini adalah lebih ganas dan lebih berkonsepkan politik yang aneh yang mana, negara mereka membenarkan satu tarikh untuk bunuh membunuh bagi membalas dendam atau menghukum tanpa dihukum oleh pihak berkuasa.

Bagaimana pula kalau dua konsep filem ini digabungkan menjadi satu filem? Universal Pictures baru-baru ini mempunyai satu filem dari pihak produksi Blumhouse Productions. Filem ini berjudul The Hunt. Berdasarkan video acah, filem ini dilihat seakan menggabungkan konsep Hunger Games dan The Purge dalam satu filem. Filem ini berasaskan dari filem pendek tahun 1924 berjudul “The Most Dangerous Game“. Dalam filem The Hunt, 12 orang telah sedar dalam satu kawasan asing dan mereka telah dipilih untuk diburu oleh orang-orang kaya.

Konsep 12 orang ini dipilih adalah seakan Hunger Games, kerana mereka tidak mempunyai pilihan. Kemudian pasukan orang kaya yang ingin memburu mereka ini adalah konsep seakan The Purge, yang mana ada satu adegan itu orang-orang kaya hanya berlindung dalam rumah dan berseronok dengan membunuh orang-orang tidak bersalah dan mereka ini bersifat tidak adil.

Secara keseluruhan, apa yang saya lihat dalam video acah untuk The Hunt – ia adalah satu filem yang ganas dan ngeri. Cara mereka membunuh antara satu sama lain adalah sangat dahsyat dan tiada belas kasihan. Oleh yang demikian, terdapat seorang mangsa yang memberontak dan membunuh kembali orang-orang kaya ini. Mangsa ini adalah Crystal, iaitu lakonan oleh Betty Gilpin. Beliau mula memberontak dan mula membalas dendam satu demi satu.

Kawasan yang orang-orang kaya ini berkumpul adalah Manor House. Dalam video acah, Crystal dilihat berjaya menyelamatkan diri sehingga tiba ke Manor House. Cuma persoalannya, kenapa 12 orang ini dipilih dan kenapa Crystal adalah individu yang filem ini beri tumpuan penuh. Siapa pula orang-orang kaya ini dan adakah ini satu agenda yang kerap dilakukan?

Filem ini akan ditayangkan pada 16 April dan jika anda ingin tahu, bagaimana pengakhiran filem ini – sama ada adakah ia akan menjadi francais seperti The Purge, sama-sama kita nantikan.

Leave a Reply