Skip to main content

Setelah mengumumkan kempen biayasama melalui Kickstarter awal bulan ini, Platinum Games hari ini akhirnya mengumumkan tarikh pelancaran permainan pernambah-baikkan The Wonderful 101 secara rasmi di mana ianya bakal tiba pada 19 Mei 2020 ini.

Seperti yang dijanjikan, permainan ini akan tiba di konsol PlayStation 4, Switch dan juga PC di mana ianya asalnya adalah permainan yang dilancarkan di konsol Wii U pada 2013 lepas. Kini melalui versi pernambah-baikkan ini, Platinum Games menyertakan beberapa kemaskini baharu termasuklah sokongan sebanyak 60FPS.

Sebelum ini kami melaporkan yang mana permainan ini dirancang untuk dilancarkan pada April, namun tampaknya Platinum Games menundakan sedikit selama sebulan dan kini Mei merupakan tarikh rasmi pelancarannya. Selain itu, Platinum Games juga mengesahkan ia bakal dilancarkan secara digital dan fizikal.

Bagi anda yang tidak mengetahui berkenaan permainan Wonderful 101, ianya adalah satu permainan aksi adiwira oleh Platinum Games yang mana pemain akan mengawal sekumpulan adiwira di mana mereka berupaya untuk bercantum untuk menjadi pelbagai jenis senjata. Pemain juga akan bertempur dengan pelbagai jenis musuh dan menemui pelbagai adiwira sepanjang pengembaraan.

Menurut Hideki Kamiya, iaitu pengarah permainan ini, beliau menyatakan yang mana beberapa tahun lepas permainan tersebut tidak mendapat sambutan yang baik di kalangan pemain dan kali ini beliau berharap dengan melancarkannya secara multi-platform, beliau ingin membawa permainan secara global dan berharap lebih ramai pemain dapat mencubanya. Mereka juga melancarkan permainan ini dengan pelbagai pernambah-baikkan dengan harapan ianya bakal menjadi satu permainan yang menarik untuk pemain.

Ketika artikel ini ditulis, kempen biayasama permainan ini telah pun mencapai $1.7 juta iaitu sekitar RM7 juta dengan lebih dari 27,000 penyokong. Kempen tersebut akan tamat sekitar 8 hari sahaja lagi dan bagi anda yang ingin menyokong Platinum Games, anda boleh ke pautan rasmi Kickstarter The Wonderful 101.

Leave a Reply