Kerusi Gaming semestinya menjadi salah satu perkakas utama untuk bukan sahaja pemain kasual malah pemain profesional atas sebab keselesaan ketika bermain permainan video adalah sangat penting sekali untuk bermain dalam tempoh masa yang lama. Menjelang tahun 2020 ini, terdapat pelbagai pilihan kerusi Gaming daripada pelbagai jenis pengeluar secara tempatan mahupun dari luar negara.
Hari ini, kami berkesempatan untuk mengulas satu kerusi oleh TT Racing yang mana adalah pengeluar kerusi Gaming tempatan, yang mula bertapak sejak 2016 lepas.
Dengan nama TTRacing Duo V3, kerusi ini dijual dengan harga RM399 yang mana ianya mempunyai rekaan kerusi lekuk dan beberapa aspek yang agak ringkas jika ingin dibandingkan dengan kerusi Gaming yang lain.
Benda pertama yang kami ingin nyatakan adalah dari segi aspek pemasangan, ianya agak ringkas dan saya siap memasangnya dalam kurang dari satu jam yang mana pada pendapat saya untuk kerusi Gaming, jumlah jam tersebut adalah sesuatu jumlah yang sangat pantas sekali.
Meskipun begitu, mari kita terus ke ulasan penuh kerusi ini dan pendapat penuh saya berkenaannya.
Kerusi Gaming TTRacing Duo V3 mempunyai 3 pilihan warna yang berbeza iaitu warna Hitam, Merah dan Kelabu yang mana pada pendapat saya sendiri adalah pilihan warna yang sangat baik sekali terutamanya anda yang sering melakukan penstriman permainan video. Ini kerana warnanya tidaklah terlalu menyerlah sekaligus saya percaya ianya tidak akan mengganggu ketika sesi penstriman anda.
Dari segi rekaan asasnya, ianya mempunyai rekaan kerusi lekuk seperti kerusi kereta lumba, namun pada pendapat saya lekuknya masih lagi luas dan tidaklah terlalu sempit berbanding jenama lain.
Dari segi aspek rekaan lain, saya juga menyukai beberapa rekaan tekstur kerusi ini agak tersembunyi, terutamanya jika anda menggunakan kerusi berwarna hitam seperti saya sendiri. Walaupun begitu, saya menyukai rekaan sebegini kerana ianya tidaklah terlalu menyerlah dan ianya juga berasa seolah kerusi pejabat biasa sahaja.
Dari segi keselesaan, seperti yang anda tahu, saya sendiri berbadan besar dan untuk mencari kerusi Gaming yang boleh mengikut bentuk tubuh badan saya dan selesa merupakan satu perkara yang sangat sukar.
Namun, dengan kerusi TTRacing Duo V3 ini, saya boleh katakan ianya adalah salah satu kerusi Gaming yang sangat selesa antara kebanyakan jenama kerusi Gaming yang saya cuba. Ini kerana, lekuk kerusi ini adalah tidak terlalu sempit, sekaligus untuk saya yang mempunyai badan yang lebar, ianya berasa sangat bagus dan selesa untuk saya duduk dalam tempoh masa yang lama.
Dari segi keselesaan lain, ketinggian peletak lengan juga adalah baik untuk saya sendiri dan ianya tidaklah memberi sebarang kelenguhan buat saya untuk sesi duduk yang lama. Selain itu, saya juga menyukai beberapa aspek bentuk rekaan tapak duduk kerusi ini yang mana ianya berasa sangat empuk dan nyaman, walaupun saya duduk lebih dari 3 jam.
Dari segi ketahanan, saya sendiri adalah seorang lelaki yang mempunyai berat lebih dari 100KG dan saya boleh katakan sepanjang sesi percubaan saya, saya tidak menghadapi sebarang masalah. Dari segi roda, kesemuanya berpusing dengan lancar sehinggalah ketahanan tapak, yang mana tidak langsung mengeluarkan sebarang bunyi ketika saya duduk ataupun bangun dari kerusi ini. Bahkan saya sendiri sangat berpuas hati dengan keselesaan kerusi ini.
Meskipun begitu, bagi anda yang masih lagi was-was dengan keselesaan dan ketahanan kerusi ini, saya mengesyorkan anda untuk melihat sendiri ukuran di laman rasmi TTRacing. Saya juga berkongsinya di atas untuk model ini di mana anda boleh sendiri ukuran dan nilai berat maksima yang kerusi ini boleh tampung.
Semestinya dengan harga serendah RM399, terdapat beberapa fungsi yang sering kita lihat di kerusi Gaming lain yang tidak disertakan melalui kerusi ini.
Antara fungsi yang ramai pasti kecewa adalah kerusi ini tidak boleh dibaringkan, sekaligus bagi anda yang ingin baring lebih dari 155 darjah, lebih baik anda baring dan tidur di atas katil anda sendiri.
Saya sendiri sebenarnya tidaklah begitu gemar dengan fungsi baring yang terdapat di beberapa kerusi Gaming lain atas sebab ketika saya ingin duduk ketika bermain permainan video, saya sendiri tidak akan baring. Jika saya letih dan ingin tidur, saya lebih suka untuk baring dan tidur di katil saya sendiri.
Meskipun begitu, saya memahami kenapa kebanyakan pemain banyak mencari fungsi tersebut, dan jika anda perlu fungsi untuk membaringkan kerusi anda, saya boleh katakan kerusi ini semestinya tidak akan menyertakan fungsi tersebut.
Dari segi fungsi lain yang tidak disertakan juga adalah fungsi untuk mengubah-suai tempat meletak lengan, yang mana pendapat saya, ianya tidaklah terlalu teruk. Semestinya untuk anda yang ingin fungsi ini, saya sarankan untuk anda memilih model lain yang mana juga dijual oleh TTRacing dengan harga berbeza.
Dari segi fungsi asas lain seperti mengubah ketinggian, mengunci untuk sama ada ianya boleh dibaringkan lebih dari 155 darjah ataupun kurang daripada itu adalah sama sahaja daripada kebanyakan kerusi-kerusi pejabat lain.
Sekali lagi saya perlu tekankan yang mana harga kerusi ini hanyalah bawah RM400 yang mana pada pendapat saya ianya sudah pun berbaloi dari harga tersebut dengan fungsi-fungsi yang tersedia, memandangkan ianya adalah harga asas untuk kerusi yang bertaraf ini.
Secara amnya, untuk satu kerusi Gaming yang berharga RM399, semestinya ini adalah satu kerusi Gaming yang sangat bagus sekali bahkan saya sendiri selepas mengulas kerusi ini, berasa untuk membelinya sendiri dan menggunakannya di rumah untuk sesi permainan video saya.
Semestinya ini tidaklah kerusi Gaming paling selesa yang saya pernah duduk, namun untuk harga RM399, saya berasa sangat puas hati dengan kualiti yang dihasilkan oleh TTRacing dan boleh katakan satu kerusi Gaming yang sangat murah dan berpatutan dengan harga yang dijual.
Selain daripada menjadikan sebagai kerusi Gaming anda, saya juga berasa kerusi ini sangat sesuai untuk dijadikan sebagai kerusi pejabat memandangkan ianyanya tidak lah terlalu menyerlah dan segala asas keselesaan dan ketahanan adalah cukup baik sekali.
Bagi anda yang berminat untuk dapatkan kerusi ini, ianya boleh dibeli melalui laman rasmi TTRacing, namun buat masa ini ianya hanyalah dijual secara pra-tempahan dan akan mula diedarkan pada 15 Mac 2020 ini.
Penafian: Kerusi Gaming TTRacing Duo V3 disediakan oleh TTracing