Melalui paten baharu yang didaftarkan oleh Sony Interactive Entertainment, tampaknya alat kawalan buat konsol PlayStation 5 iaitu DualShock 5 mungkin akan menyertakan beberapa fungsi maklum balas keadaan pemain dengan menyertakan dua pengimbas di pemegang alat kawalan tersebut.
Antara fungsi yang dinyatakan adalah pengimbas tersebut berupaya untuk mengesan peluh dan kadar degupan jantung pemain di mana ianya kemudian akan mengubah ‘pengalaman permainan’. Namun buat masa ini, informasi berkenaan ‘pengalaman permainan’ yang akan diubah tidak dinyatakan dengan lebih lanjut.
Selain itu, paten tersebut juga menyatakan yang mana ianya mungkin akan menggunakan PlayStation Camera sebagai satu alat untuk menangkap imej. Ianya juga dinyatakan fungsi ini juga boleh digunakan secara realiti-maya, sekaligus ianya mungkin adalah satu bentuk baharu untuk pengalaman PlayStation VR seterusnya. Sekali lagi, informasi ini tidak diterangkan dengan lebih lanjut.
Berdasarkan apa yang didaftarkan, paten ini menyatakan yang mana keseluruhan fungsi ini adalah untuk meningkatkan lagi pengalaman dan interaktif permainan antara pemain yang mana kami berasa agak menakjubkan, namun menakutkan yang mana kelihatan pembangun mungkin berupaya untuk mengesan sebarang tindak balas badan pemain dan mungkin akan mengubah beberapa aspek permainan secara langsung.
Semestinya ini adalah satu paten sahaja dan implikasinya tidak semestinya akan digunakan untuk produk akhir bagi alat kawalan DualShock 5 tersebut.
Walau bagaimana pun, dengan pelbagai informasi yang masih lagi dirahsiakan buat konsol PlayStation 5, semestinya sudah ramai peminat dan pemain tidak sabar apakah yang akan Sony bawakan untuk konsol generasi seterusnya pada penghujung tahun ini.