Skip to main content

Microsoft sebelum ini telah pun mengumumkan yang mana konsol akan datang mereka bakal dikenali dengan nama Xbox Series X. Sedia menjadi jangkaan ramai adalah dimana konsol berkenaan akan menawarkan sokongan grafik dan pemprosesan yang pantas. Hari ini, Microsoft berkongsi lanjut mengenainya.

Microsoft hari ini mengatakan Xbox Series X akan hadir dengan sokongan GPU sehingga 12 teraflops. Untuk menjayakan perkara ini, Microsoft menggunakan cip pemprosesan khusus AMD Zen 2 dengan binaan RDNA 2.

Secara kasarnya, ini membolehkan penawaran sehingga 4 kali kuasa pemprosesan berbanding Xbox One sebelum ini. Seperti diperkatakan sebelum ini, konsol generasi baru Microsoft ini bakal dilengkapi storan berasaskan NVMe SSD untuk mempercepatkan lagi pemuatan permainan, selain DirectX Raytracing untuk pencahayaan dan kesan pantulan yang lebih realistik.

Xbox Series X ini juga bakal menawarkan sokongan permainan pada kadar segar semula 120fps – sekaligus menawarkan pengalaman permainan yang lebih baik.

Microsoft hari ini turut berkongsi beberapa ciri-ciri menarik yang akan disertakan pada konsol berkenaan. Salah satunya adalah “Quick Resume” yang membolehkan anda meneruskan permainan dengan pantas. Disamping itu, konsol baru ini turut akan menawarkan sokongan untuk pelbagai permainan Xbox – sehingga empat generasi sebelum ini.

Microsoft sekali lagi menekankan yang mana Xbox Series X adalah konsol terpantas dan paling berkuasa daripada mereka setakat ini. Microsoft dijangka akan berkongsi lanjut mengenai konsol ini dalam bulan-bulan akan datang.

Leave a Reply