Skip to main content

Dying Light merupakan permainan penembak pandang pertama dunia terbuka oleh Techland yang dilancarkan pada 2015 lepas di mana permainan ini mendapat sambutan yang sangat baik di kalangan pemain dengan pelbagai kandungan yang dilancarkan sebelum ini.

Techland sebelum ini juga mengumumkan Dying Light 2 akan dilancarkan kelak namun masih tiada tarikh pelancarannya.

Meskipun begitu, dengan ulang tahun ke-5 buat siri ini, Techland berkongsi satu video khas mengucapkan terima kasih buat pemain disamping mengumumkan beberapa kandungan baharu bakal tiba bersempena dengan ulang tahun ini.

Untuk minggu pertama ini, Techland mengumumkan acara komuniti khas yang sedang berlangsung minggu ini dengan pengumuman berkas bahari yang menyertakan pelbagai kandungan dan senjata melalui berkas khas buat permainan Dying Light: The Following Enhanced Edition.

Berkas ini boleh dibeli secara berasingan dengan harga sekitar RM8.50 sahaja di Steam dan platform pilihan pemain.

Selain itu, Techland juga umum kemaskini khas dengan tahap kesukaran yang lebih mudah buat mod penceritaan yang mana ianya akan membenarkan pemain untuk bermain dan meneroka dunia Dying Light dengan lebih mudah. Kemaskini ini boleh ditetapkan dengan serangan zombi yang lebih rendah sekaligus membuatkan pemain menjadi lebih kuat dan mudah untuk bertahan hidup daripada zombi-zombi.

Untuk informasi lanjut seterusnya sempena ulang tahun ke-5 ini, Techland akan mengumumkannya secara berperingkat melalui laman rasmi Dying Light.

Dying Light telah pun dilancarkan di konsol PlayStation 4, Xbox One dan PC.

Leave a Reply