Kali terakhir kita mendengar sebarang kemaskini berkenaan permainan Biomutant adalah Ogos tahun lepas di mana THQ Nordic berkongsi sebilangan edisi permainan yang akan dilancarkan termasuklah dua edisi terhad khas buat permainan tersebut.
Dengan tibanya tahun 2020 ini, ramai peminat dan kami sendiri tertanya bilakah permainan ini akan dilancarkan dan Experiment 101 iaitu pembangun permainan ini bersama THQ Nordic akhirnya berkongsi kenyataan rasmi berkenaan permainan tersebut.
Menurut kenyataan mereka, permainan Biomutant masih lagi sedang dibangunkan yang mana mereka tidak henti meneruskan pembikinan dunia permainan tersebut. Untuk mencapai kualiti yang mereka inginkan dengan saiz permainan yang meluas, mereka masih belum bersedia untuk berkongsi sebarang tarikh pelancaran selagi permainan tersebut tidak siap.
Mereka juga berterima kasih buat peminat yang terus memberi sokongan dan berharap agar peminat bersabar sehingga mereka melengkapkan peringkat pembangunan tahap akhir ini.
Selain itu, menurut kenyataan THQ Nordic pula, Experiment 101 adalah studio pembangun yang kecil dengan hanya sekitar 20 pembangun sahaja sekaligus pembangunan mungkin akan mengambil masa yang sedikit lama berbanding pasukan yang besar. Mereka pasti akan mengumumkan tarikh pelancaran apabila ianya sedia untuk dilancarkan.
Semestinya saya sendiri menyokong pembangun untuk melancarkan permainan apabila ianya sedia untuk dilancarkan dan dengan kesempatan ini, kami juga ingin mengucapkan selamat maju jaya buat THQ Nordic dan Experiment 101 untuk pembangunan Biomutant yang mana semestinya ianya kelihatan satu permainan yang sangat menarik sekali.