Dreams ataupun Dreams Universe merupakan satu “permainan” yang dibangunkan oleh pembangun siri Little Big Planet dan Tearaway iaitu Media Molecule khas di konsol PlayStation 4.

Permainan ini sebelum ini dilancarkan sebagai permainan akses awal yang mana ianya membenarkan pemain untuk bermain dan menghasilkan kandungan lebih awal dan kemudiannya ia dilancarkan secara rasmi pada 14 Februari 2020 lepas.

Apa Itu Dreams Universe?

Jadi perkara pertama yang saya ingin tekankan adalah, Dreams Universe bukanlah satu permainan seperti permainan-permainan lain, bahkan saya berasa ianya lebih kepada satu alat, untuk pemain menghasilkan dunia permainan ataupun sebarang jenis rekaan dari segi watak, dunia dan satu bentuk komuniti yang sangat unik.

Dreams Universe bukan sahaja memberi kebebasan untuk pemain menghasilkan karya pemain sendiri, bahkan ia membenarkan pemain untuk berkongsi sesama pemain lain secara atas-talian dan bermain ataupun menikmati antara karya-karya yang dihasilkan oleh pemain-pemain lain.

Seperti anda sedia maklum, konsep berkongsi sesama pemain lain tidaklah asing memandangkan permainan Little Big Planet sebelum ini oleh Media Molecule juga memperlihatkan rekaan pentas permainan yang pemain boleh muat-naik dan bermain bersama pemain lain.

Terkini melalui Dreams Universe, Media Molecule berjaya membawa ke peringkat seterusnya yang mana pemain kini bukan sahaja boleh melihat karya pentas permainan yang dihasilkan oleh pemain lain, malah satu dunia permainan yang terdiri daripada pelbagai genre dari permainan berlumba, pengembaraan, platformer sehinggalah permainan penembak.

Kawalan

Dari segi aspek kawalan, permainan ini menyertakan 3 kawalan utama yang pemain mainkan iaitu dengan menggunakan alat kawalan Dualshock 4 dan alat kawalan PlayStation Move. Namun bagi penggunaan bersama Dualshock 4, permainan ini menyertakan 2 gaya berbeza iaitu penggunaan bersama kawalan Analog sahaja ataupun penggunaan bersama pergerakan.

Saya sendiri mengesyorkan penggunaan bersama Dualshock 4 dengan tetapan pergerakan kerana ianya adalah kawalan paling mudah untuk digunakan pada pendapat saya. Sekaligus secara keseluruhan permainan ini saya hanyalah menggunakan kawalan tersebut. Tetapi jika anda ingin menukarkan kepada kawalan lain, ianya boleh diubah secara terus melalui tetapan permainan.

Dari segi aspek kawalan lain, permainan ini menyertakan 3 bentuk permainan utama yang akan saya terangkan lebih lanjut di bahagian kandungan permainan. Meskipun begitu, dari segi aspek kawalan lain, apa yang disertakan di dalam permainan ini semestinya adalah cukup ringkas dan mudah untuk digunakan dengan alat kawalan yang tersedia.

Akan tetapi, ianya juga adalah sukar dari segi kawalan “alatan” kerana anda memerlukan masa yang sangat panjang untuk memahami dan biasa dengan alat-alat yang terdapat di dalam Dreams Universe ini. Ini kerana alatan tersebut tersangatlah mendalam dan mempunyai pelbagai penggunaan dan tetapan yang anda boleh terokai, untuk menghasilkan satu dunia permainan yang meluas.

Walaupun begitu, anda masih lagi boleh bermain permainan ini tanpa perlu menghasilkan sebarang karya dan terus menikmati kandungan ataupun karya yang telah dihasilkan oleh Media Molecule sendiri ataupun pemain lain. Kebanyakan kandungan yang dihasilkan oleh mereka mempunyai bentuk kawalan dan permainan yang agak ringkas dan sangat mudah untuk difahami.

Namun bagi anda yang ingin menghasilkan karya, semestinya ianya adalah bukan satu tugas yang mudah dan anda akan habiskan masa berjam-jam untuk mula biasa dengan tetapan, kawalan dan alat yang disediakan untuk menghasilkan sesuatu yang ringkas seperti model watak mahupun satu “permainan” di dalam Dreams Universe ini.

Dari segi kawalan yang tersedia melalui bentuk pembinaan sendiri ini, ianya membenarkan anda untuk menukarkan pelbagai aspek dunia seperti meletak watak musuh, meletakkan kotak, platform dan sebagainya. Anda juga boleh meletakkan tetapan kawalan seperti menekan butang kotak ataupun X, untuk sesuatu watak tersebut melakukan pergerakan ataupun serangan.

Aspek pengubah-suaian lain juga boleh dilakukan seperti menghasilkan watak anda sendiri dan sebagainya, dengan menggunakan alat kawalan Dualshock 4 ataupun PlayStation Move sahaja. Sekaligus ianya banyak memerlukan pemain untuk belajar beberapa butang pintas untuk mengubah kamera, mengumpulkan aset model bersama dan pelbagai lagi fungsi-fungsi rekaan 3D model, ataupun kandungan kreatif seperti aplikasi kreatif lain.

Walaupun Dreams Universe ini menyediakan satu mod khas untuk anda belajar segala tetapan dan kawalan yang ada, ianya masih lagi akan memakan masa anda dan ianya seolah anda belajar menggunakan aplikasi-aplikasi kreatif seperti Adobe dan sebagainya, yang mana pada pendapat saya memerlukan dedikasi yang sangat tinggi.

Kandungan

Secara amnya, Dreams Universe mempunyai 3 bentuk permainan utama iaitu Dreams Surfing, Dreams Shaping dan juga Community Jam.

Dreams Surfing adalah bentuk khas yang membenarkan pemain untuk menerokai hasil-hasil karya yang dihasilkan oleh Media Molecule sendiri ataupun pemain lain disamping mencuba dan bermainnya secara bersahaja. Mod ini adalah sangat sesuai buat mereka yang hanya berminat untuk terokai karya-karya pemain lain tanpa perlu menghasilkan karya pemain sendiri.

Antara karya kesukaan saya adalah Art’s Dream oleh Media Molecule sendiri di mana ianya mempunyai bentuk permainan seakan tunjuk dan klik bersama-sama dengan pelbagai tekaria dan dialog pilihan yang sangat menarik. Ianya hanyalah satu permainan ringkas dan boleh dihabiskan kurang dari 4 jam, meskipun begitu ianya masih lagi satu karya yang sangat menakjubkan dan ianya dihasilkan 100% dengan hanya menggunakan alatan yang terdapat di dalam Dreams Universe.

Ini sekaligus memberi inspirasi kepada pemain di mana mereka boleh menghasilkan permainan yang bertaraf ini dengan hanya menggunakan alatan tersedia. Akan tetapi, seperti yang saya ulangi, ianya memakan masa yang sangat lama untuk mencapai kualiti tersebut memandangkan ianya bergantung kepada dedikasi dan masa pemain untuk menghasilkan “Dunia” permainan dengan teliti.

Community Jam pula, iaitu acara khas bertema oleh Media Molecule untuk pemain main dan cuba hasilkan kandungan ataupun karya dan pemain boleh mengundi yang mana akan menjadi pilihan kesukaan pemain secara atas-talian.

Akhir sekali adalah bentuk Dreams Shaping iaitu bentuk utama yang pemain akses untuk menghasilkan karya pemain sendiri. Melalui bentuk ini, pemain diberi pelbagai kebebasan dan alatan untuk pemain hasilkan karya sama ada rekaan 3D model mahupun permainan pemain sendiri ataupun dunia “Dreams” pemain.

Melalui mod ini juga, pemain juga berupaya untuk mengakses mod pembelajaran yang mana permainan ini sendiri menyediakan beberapa Tutorial untuk pemain belajar menggunakan segala kelengkapan dan alatan yang tersedia di dalamnya. Saya juga menghargai bagaimana ianya terbahagi kepada beberapa jenis tahap kelas yang berbeza, sekaligus memudahkan saya untuk belajar dan pada masa yang sama berasa mudah untuk difahami.

Walaupun begitu, saya perlu akui yang mana setiap “kelas” melalui mod pembelajaran ini semestinya memakan masa yang sangat lama dan boleh dikatakan agak mendalam. Sekaligus buat mereka yang ingin bermain secara kasual ataupun tidak berminat untuk belajar menggunakan alatan yang tersedia, anda mungkin tidak akan suka mod ini.

Grafik & Audio

Dari segi grafik dan audio tidak banyak yang saya boleh perkatakan memandangkan ianya agak tidak konsisten atas sebab ia mengikut jenis kandungan ataupun karya yang diperlihatkan oleh pemain.

Meskipun begitu, jika ingin dilihat kualiti karya ataupun permainan yang dihasilkan oleh Media Molecule sendiri seperti Art’s Dream yang saya katakan diatas, semestinya permainan tersebut kelihatan sangat menarik sekali dengan gaya seni yang sangat unik dan pada masa yang mempunyai pelbagai elemen permainan yang sangat mendalam.

Bercakap berkenaan visual, permainan ini juga membenarkan pemain untuk membuat pelbagai tetapan seperti yang katakan di atas, dari rekaan model 3D seperti pencahayaan, warna, tekstur dan sebagainya. Hasil kualiti yang dihasilkan boleh dikatakan sangat memberangsang, sehingga terdapat beberapa komuniti pemain berjaya menghasilkan gambar imej seakan gambar nyata seperti yang diperlihatkan di imej set makanan di atas.

Dari segi prestasi, terdapat juga beberapa masalah prestasi terutamanya ketika saya ingin membuka karya “Dreams” yang mempunyai kandungan yang luas dan beberapa skrin pemuatan yang agak lama. Meskipun begitu, ianya tidaklah merosakkan sebarang sesi permainan saya.

Saya juga memahami kenapa ianya agak perlahan untuk dimuatkan atas sebab terdapat beberapa adegan dan kandungan yang sangat besar. Meskipun begitu apa yang saya harus puji adalah walaupun kandungan yang besar, saya sekali pun tidak menghadapi sebarang masalah aplikasi tergendala mahupun pepijat yang merosakkan sesi rekaan dan permainan.

Komuniti

Komuniti semestinya adalah tumpuan utama untuk permainan Dreams Universe atas sebab ianya bukan sahaja mengumpul karya-karya pemain lain yang sangat kreatif, bahkan ianya memberi peluang untuk pemain untuk mengenali dan melihat gaya seni dan karya oleh pelbagai pemain di seluruh dunia.

Antara kesukaan saya sendiri adalah terdapat beberapa pemain yang menghasilkan semula permainan Silent Hill ataupun P.T. iaitu Playable Teaser yang dibatalkan oleh Konami di dalam Dreams Universe. Semestinya ianya tidaklah menyerupai 100% daripada P.T. asal, akan tetapi hasil kualiti dan bentuk pemain setiap kali memasuki pintu tersebut masih lagi seakan sama dengan permainan asli P.T. yang pasti akan mengingatkan saya akan mimpi ngeri dan kesuraman permainan tersebut.

Selain itu, saya juga terpegun dengan beberapa aspek permainan seperti bahagian pertama Metal Gear Solid, ataupun animasi-animasi watak seperti Cloud dari Final Fantasy VII yang dihasilkan begitu terperinci oleh pemain lain dan boleh saya katakan adalah satu karya seni yang sangat menakjubkan.

Saya juga menyukai beberapa elemen-elemen model yang dihasilkan oleh pemain lain dan untuk melihat permainan Mario ataupun watak Mario sendiri berada di dalam konsol PlayStation semestinya satu perkara yang anda boleh lakukan di dalam Dreams Universe ini.

Selain itu, rekaan model-model yang dihasilkan oleh komuniti juga boleh diakses dan digunakan untuk permainan pemain sendiri yang mana apa yang saya boleh katakan perkongsian antara satu sama lain di dalam Dreams Universe ini semestinya membuahkan satu bentuk sosial media pengkarya dan pemain yang sangat bagus sekali.

Dari segi aspek komuniti lain pula, saya juga boleh tinggalkan “Thumbs Up” untuk sebarang Dreams ataupun karya yang saya suka setelah saya mencubanya. Ini bukan sahaja memberi peluang saya untuk menghargai karya pemain lain, malah ianya seolah fungsi satu “tanda” jika saya ingin bermain Dreams ataupun melihat karya tersebut semula.

Kesimpulan

Apa yang saya boleh rumuskan adalah Dreams Universe bukan satu permainan biasa, ianya adalah satu alat pembinaan dunia permainan yang meluas dan tanpa had yang mana pasti akan membuka minda pemain yang sangat kreatif. Dengan pelbagai alatan yang tersedia dengan keupayaan untuk menghasilkan pelbagai jenis genre permainan sehinggalah ke adegan dan penceritaan tersendiri, Dreams Universe adalah satu “Enjin Permainan” yang boleh dikatakan mempunyai harga mampu milik untuk semua pemain.

Akan tetapi, untuk mencapai tahap penghasilan karya yang baik semestinya memerlukan pemain untuk sentiasa belajar menggunakan alatan tersebut yang mana saya sendiri berasa agar sukar dan sangat memakan masa.

Meskipun begitu, saya sendiri sangat mengesyorkan anda untuk mendapatkan permainan bukan sahaja atas sebab ianya memberi peluang untuk anda menghasilkan karya anda tersendiri, bahkan anda juga boleh mencuba pelbagai jenis karya-karya Dreams yang dihasilkan oleh pemain lain di seluruh dunia.

Dreams Universe boleh saya katakan adalah satu pelengkap untuk konsol PlayStation 4 sebelum ianya ke konsol generasi seterusnya dan ia juga adalah jawapan Sony untuk permainan pembinaan sendiri seperti Super Mario Maker, di konsol PlayStation.

Penafian: Kod permainan untuk Dreams Universe disediakan oleh PlayStation Asia dan Media Molecule.

Sohor Kini