Seperti yang Netflix umumkan sebelum ini, musim kedua bagi siri Kingdom akan tiba 13 Mac 2020 ini di mana ianya adalah siri Korea yang memfokuskan elemen seram dan zombi.
Terkini, dengan pelancarannya yang semakin hampir, Netflix hari ini akhirnya memperlihatkan video acah pertama buat musim kedua siri tersebut.
Musim kedua siri ini sekali lagi akan memfokuskan putera raja Lee Chang bersama-sama Cho Haj-Ju, Seo-Bi, Mu-Yeong, Yeong-Sim, Beom-Pal dan permaisuri untuk mempertahankan diri daripada ancaman-ancaman zombi ketika penghujung musim pertama lepas.
Berdasarkan video acah yang diperlihatkan, kelihatan putera raja Lee Chang juga akan mencabar permaisuri di istana diraja atas sebab permaisuri tersebut tidak layak berada di takhta tersebut.
Semestinya kami sebagai peminat siri ini tidak sabar untuk menontonnya dan bagi anda yang masih belum menontonnya, musim pertama Kingdom boleh ditonton di Netflix yang mana ianya mempunyai 6 episod sahaja. Manakala musim kedua Kingdom juga disahkan akan mempunyai 6 episod sahaja.
Kingdom asalnya adalah berdasarkan siri komik The Land Of The GOds oleh Kim Eun-Hee yang mula diterbitkan pada 2015 lepas. Melalui siri Netflix ini, ianya di arahkan oleh Kim Sung-Hoon dan dituliskan oleh penulis asal, Kim Eun-Hee.