Skip to main content

Siri permainan video Diablo dan Overwatch boleh dikatakan tajuk-tajuk yang sangat popular untuk syarikat pembangun permainan Blizzard. Di BlizzCon tahun lepas, mereka telah mengumumkan bahawa Diablo 4 dan juga Overwatch 2 sedang dibina oleh mereka, walaupun mereka tidak mengumumkan sebarang tarikh pelancaran.

Terkini, nampaknya kedua-dua permainan ini akan menerima kandungan baru dari segi siri animasi pula, khususnya tajuk permainan Diablo. Menurut Nick van Dyk, Co-President Blizzard, siri animasi Diablo sedang dibangunkan dengan kualiti yang sama seperti Castlevania yang disiarkan di Netflix, malah, apabila siap kelak, ia juga akan disiarkan di platform penstriman tersebut.

Untuk Overwatch pula, Nick van Dyk mengatakan bahawa buat masa ini tiada butiran khusus, tetapi beliau telah membangunkan jalan cerita untuk siri animasi tersebut dan ia telah dijual kepada penyiar, tetapi tidak memberitahu siapakah yang akan menyiarkan siri animasi tersebut, ataupun bilakah ia akan dibangunkan.

Siri permainan Diablo mempunyai penceritaan yang agak gelap, manakala Overwatch pula cukup popular untuk siri video-video pendeknya yang menceritakan tentang watak-watak permainan tersebut.

Leave a Reply