Skip to main content

Beberapa hari lepas, People Can Fly dan Square-Enix mengumumkan yang mana permainan akan datang Outriders akan ditunda dan juga akan tiba di konsol generasi seterusnya. Selain itu, mereka juga menjanjikan akan memperlihatkan bentuk permainannya secara rasmi minggu ini.

Terkini, bentuk permainan tersebut akhirnya diperlihatkan secara rasmi bersama-sama dengan pelbagai kandungan permainan lain.

Seperti yang diperlihatkan di atas, permainan ini memfokuskan bentuk penembak pandang ketiga yang mana pemain juga dilengkapi dengan pelbagai senjata dan kelas watak berbeza. Menariknya, setiap watak mempunyai kemahiran berbeza, contohnya Trickster berkeupayaan untuk memperlahankan masa.

Secara keseluruhan, permainan ini mempunyai 3 kelas utama iaitu Pyromancer, Trickster dan Devastator yang mana setiap satunya mempunyai kemahirannya tersendiri. Permainan ini juga mempunyai lokasi hub utama yang pemain boleh lawati, untuk membeli barangan, mengubah-suai senjata dan sebagainya.

Berdasarkan apa yang diperlihatkan, semestinya permainan ini kelihatan sebagai satu lagi permainan Loot Shooter seperti Destiny, Borderland dan sebagainya yang mana ianya memfokuskan bentuk multi-pemain dan pelbagai kelengkapan yang pemain boleh dapatkan.

Dari segi penceritaan, permainan ini memfokuskan dunia yang telah pun hancur yang mana manusia kini cuba untuk meneruskan hidup di planet lain iaitu Enoch yang mana asalnya ia adalah planet yang cantik, namun setelah berlaku insidien “The Anomaly”, planet tersebut menjadi semakin teruk dan pemain perlu bertempur dengan makhluk untuk mempertahankan manusia.

Seperti biasa, untuk informasi lanjut berkenaan permainan ini, anda boleh ke laman rasmi Outriders.

Outriders dirancang untuk dilancarkan pada penghujung tahun ini di konsol PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series X dan juga di PC.

Leave a Reply