Sebelum ini, kami berkongsi yang mana permainan Devil May Cry 3: Special Editon yang bakal tiba 20 Februari 2020 ini di konsol Switch akan menyertakan fungsi penukaran gaya tempur secara terus.
Terkini, Capcom mengumumkan fungsi seterusnya dan terakhir yang bakal tiba buat permainan tersebut iaitu mod koperasi khas di Bloody Palace dengan menggunakan watak Dante dan Vergil.
Pengumuman ini diumumkan khas melalui akaun Twitter rasmi Devil May Cry di mana penerbit permainan tersebut iaitu Matt Walker menyatakan yang mana Devil May Cry 3: Special Edition ini akan menyertakan bentuk koperasi khas yang membenarkan pemain untuk menggunakan watak Vergil dan Dante secara bersama.
Menariknya, bentuk ini juga boleh dimainkan secara terus dengan menggunakan alat kawalan JoyCon terbahagi, ataupun menggunakan alat kawalan Pro Controller dan sebagainya seakan gaya tempur Dopelganger sebelum, namun kali ini ia memfokuskan watak dua beradik kembar tersebut. Pemain juga boleh menetapkan kawalan tersebut dengan pilihan dan tetapan pemain sendiri.
Selain itu, sebelum ini Capcom juga umum di mana pemain berupaya untuk menukar kesemua jenis senjata secara terus dan pemain tidak lagi terhad sebanyak 2 senjata untuk senjata jarak dekat dan jauh.
Seperti yang kami laporkan sebelum ini, fungsi ini buat masa ini adalah eksklusif buat permainan ini bagi versi Switch dan Capcom tidak berkongsi sama ada fungsi ini akan tiba bagi permainan Devil May Cry 3: Special Edition yang telah dilancarkan di konsol lain.
Devil May Cry 3: Special Edition bagi konsol Switch akan tiba pada 20 Februari 2020 ini.