EA hari ini dilaporkan menamakan semula Ghost Games kepada EA Gothenburg, dan menjadikan ia sebagai hub kejuruteraan yang akan membantu studio EA yang lain berbanding membangunkan permainan mereka sendiri.
Ghost Games ditubuhkan sebagai EA Gothenburg pada tahun 2011, sebelum ditukar menjadi Ghost Games pada tahun 2012. Mereka memfokuskan pembangunan permainan Need for Speed bermula dengan Need for Speed Rivals.
Secara keseluruhan, mereka membangunkan 4 permainan Need for Speed termasuk yang terbaru iaitu Need for Speed Heat yang dikeluarkan pada tahun lepas.
Dengan perubahan ini, IP Need for Speed dikembalikan kepada Criterion Games yang membangunkan Need for Speed: Hot Pursuit dan Need for Speed: Most Wanted.
EA Gothenburg juga akan diperkecilkan kepada pasukan kejuruteraan sahaja, manakala pasukan kreatif akan dipindahkan kepada studio-studio EA yang lain. Namun, EA mengesahkan terdapat 30 jawatan yang berisiko untuk tidak dipindahkan, di mana EA akan cuba mencari jawatan lain untuk diisi oleh mereka.
Antara alasan yang diberikan oleh EA mengenai perubahan ini adalah sukar untuk mencari pekerja di Gothenburg, manakala Criterion yang berada di Guildford merupakan antara hub terbesar pembangunan permainan video di UK.