Skip to main content

Sonic The Hedgehog adalah filem aksi nyata yang diadaptasi dari permainan video terkenal dari Sega. Ia akan mula ditayangkan secara umum pada 13 Februari 2020. Filem ini adalah sebuah filem pengembaraan komedi yang menyertakan barisan pelakon seperti Jim Carrey sebagai Dr. Robotnik dan Ben Schwartz sebagai pelakon suara Sonic. Filem ini akan memfokuskan Sonic, iaitu landak berwarna biru dari dimensi lain yang diburu oleh Dr. Robotnik dan kemudian telah dibantu oleh seorang detektif tempatan – Tom Wachowski.

Bagaimana kalau saya katakan yang, filem Sonic The Hedgehog ini sebenarnya adalah filem yang memfokuskan Robotnik? Kerana berdasarkan video acah yang pernah diterbitkan, jelas yang filem ini sebenarnya adalah filem asal-usul Robotnik – atau nama lain beliau dalam permainan-permainan video Sega adalah Dr. Ivo “Eggman” Robotnik. Kenapa? Saya akan jelaskan dalam artikel ini.


Baru-baru ini, Universal Pictures telah menerbit video featurette yang fokus kepada Dr. Robotnik. Dalam filem ini, seperti yang saya katakan tadi – Robotnik dilakonkan oleh Jim Carrey. Bagi mereka yang mengikuti perkembangan Jim Carrey, seperti menonton setiap filem-filem atau aksi lawak beliau – anda pasti akan mengenali cara lakonan beliau. Jadi aksi “Jim Carrey” dalam filem ini lebih kepada aksi “Jim Carrey” dan perkara-perkara lucu pada watak beliau adalah sepertimana yang anda kenali beliau.

Cukup di situ, kenapa filem ini adalah filem asal-usul beliau? Jika anda pernah bermain mana-mana siri permainan video Sonic, watak Dr. Ivo “Eggman” Robotnik mempunyai kepala yang botak, seorang saintis gila yang ingin rampas kuasa Sonic, memalai cermin mata berbentuk bulat, mempunyai badan berbentuk telur, berpakaian merah, hitam dan kuning, dan mempunyai misai seakan Sarjan Misai.

Persoalannya, dalam video acah filem ini – pada awal video acah kita hanya lihat Dr. Robotnik mempunyai rambut dan misai yang ringkas sahaja. Tiada langsung petanda yang rekaan badan Jim Carrey adalah berbentuk telur atau petanda pembinaan empayar Eggman. Hanya pada akhir video acah sahaja kita lihat misai baharu, kepala botak dan rekaan keseluruhan mirip rekaan Robotnik. Tetapi masih tidak kelihatan rekaan telur. Oh ya, Robotnik juga adalah seorang pencipta yang gemar mencipta robot-robot seperti Badniks. Ada kemungkinan besar yang dalam filem, kita akan lihat rekaan sebenar Robotnik.

Dalam video featurette baharu ini, Jim Carrey menyatakan beliau mengambil masa lebih seminggu untuk bersiap sedia melakonkan watak Robotnik ini. Beliau juga dilihat seakan memberi komitmen serius. Perwatakan Jim Carrey dalam filem ini dilihat lebih kepada cemerkap. Banyak kemalangan dan seakan tidak terurus. Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna tidak bagus – kerana aksi-aksi cemerkap Jim Carreylah yang akan menjadikan filem ini sebuah filem pengambaraan yang lucu.

Dr. Ivo “Eggman” Robotnik, mungkin adalah penjahat aksi nyata terbaik yang diadaptasi dari permainan video. Beliau adalah penjahat yang bijak pandai, kerana mencipta pelbagai jenis robot untuk tumpaskan Sonic dan juga bukanlah seorang penjahat yang gila-gila jahat. Sebaliknya hanyalah satu watak antagonis yang mesra dilihat oleh kanak-kanak.

Jadi nasihat kami di Aksiz, jika anda berminat untuk tonton filem Sonic The Hedgehog – pastikan anda tidak mempunyai harapan yang tinggi dengan filem ini. Kerana filem ini bukannya filem setaraf seperti Birds of Prey, mana-mana filem MCU atau juga yang serius. Sebaliknya adalah filem yang akan melayan para peminat dengan memori indah zaman dahulu dan juga untuk kanak-kanak zaman sekarang kenali watak-watak dari Sonic, seperti Dr. Robotnik.

Leave a Reply