Paper Beast adalah permainan realiti-maya yang dibangunkan khas di PlayStation 4. Ianya diperkenalkan ketika acara State Of Play tahun lepas di mana seperti yang kami laporkan, permainan ini juga boleh dimainkan tanpa set realiti-maya PlayStation VR.
Paper Beast merupakan permainan yang dibangunkan oleh pencipta permainan seperti Another World, Heart Of Darkness dan From Dust iaitu Eric Chahi.
Terkini, Pixel Reef berkongsi satu lagi video acah khas yang memperlihatkan bentuk permainan pengubahsuaian rupa bumi yang diacahkan oleh mereka sebelum ini.
Seperti yang diperlihatkan di video di atas, permainan ini akan membenarkan pemain mengubah-suai rupa bumi permainan dengan pelbagai kebebasan seperti mengubah cuaca, menanam pokok dan sebagainya. Melaluinya, pemain juga boleh menghasilkan ekosistem sendiri disamping memanggil makhluk-makhluk untuk mendiami lokasi tersebut.
Menariknya juga, permainan ini juga akan menyertakan mod penceritaan bersama dengan mod “Sandbox” ini yang mana ianya adalah satu mod tambahan buat pemain.
Paper Beast dijadualkan untuk dilancarkan sekitar suku pertama tahun ini di PlayStation 4.