Sebelum ini kami melaporkan yang mana Bandai Namco akan melancarkan permainan Mobile Suit Gundam Extreme VS. Maxiboost ON di konsol PlayStation 4 menjelang tahun ini, di mana ianya adalah permainan asal dari arked.
Terkini, Bandai Namco mengumumkan bahawa mereka juga akan menyertakan kandungan baharu buat permainan tersebut dengan menyertakan robot mecha Zaku Amazing daripada siri anime Gundam Build Fighters.

Bagi anda yang mengikuti siri Gundam Build Fighters, anda pasti akan mengetahui berkenaan Zaku Amazing yang mana ianya adalah gunpla yang dibina oleh Tatsuya Yuuki. Zaku Amazing menyertakan senjata seperti penembak roket, senjata api tangan, perisai bahu, dua pedang Heat Nata, rifel panjang dan satu Bazooka besar.
Selain itu, Bandai Namco juga mengesahkan yang mana akan terdapat 2 lagi robot mecha yang akan diumumkan kelak, sekaligus meletakkan permainan ini mempunyai 183 Mobile Suits dari 36 siri Gundam. Namun dua robot tersebut akan diumumkan kemudian.
Untuk informasi lanjut anda boleh menonton video di atas di mana Akito Chiba dan Jin Okubo berkongsi informasi lanjut berkenaan permainan tersebut. Video tersebut asalnya adalah untuk acara Taipei Game Show 2020, namun atas sebab ianya ditunda, Bandai Namco mengambil keputusan untuk berkongsi secara terus di Youtube.
Buat masa ini, tarikh pelancaran masih belum diumumkan, namun ianya disahkan akan tiba di PlayStation 4 sekitar tahun ini.