Skip to main content

System Shock 3 adalah sepatutnya menjadi permainan terbaru buat siri yang pernah menjadi bualan pemain permainan video suatu ketika dahulu, namun pembangunan untuk permainan tersebut telah mengalami pelbagai masalah.

Berdasarkan satu laporan oleh VGC, seorang pembangun berkongsi status terbaru untuk pembangunan permainan tersebut secara awanama. Beliau mengatakan yang pembangunan tersebut jauh ke-belakang dan pasukan yang membangunkan permainan tersebut sebelum ini, tidak lagi terlibat atas sebab berhenti dan juga dibuang.

Beliau juga mengatakan yang semasa pembangunan mereka merasakan yang System Shock 3 tidak akan menjadi permainan sepertimana yang diharapkan oleh pemain asal permainan tersebut. Buat masa ini, pembangun dan penerbit Otherside tidak mengeluarkan sebarang pengesahan mengenai laporan ini.

Pembangunan permainan ini sebelum ini telah mengalami satu masalah apabila penerbit asal untuknya Starbreeze mengalami masalah kewangan dan terpaksa menjual balik hak penerbitan kepada Otherside.

Otherside kemudiannya mengatakan akan cuba untuk mencari penerbit baharu ataupun menerbitkannya sendiri jika terpaksa. Buat masa ini, mereka tidak mengumumkan sebarang perjanjian penerbitan baharu.

Selepas mengumumkan pembelian semula hak penerbitan daripada Starbreeze, mereka telah mengeluarkan dua video acah, termasuk juga satu bentuk permainan pada tahun lepas. Namun, selepas itu, tidak banyak yang dikongsikan.

Leave a Reply