Ctrl Movies dan Wales Interactive sebelum ini sangat terkenal dengan pelbagai permainan interaktif filem ataupun FMV seperti permainan Late Shift yang dilancarkan beberapa tahun lepas.
Terkini, mereka akhirnya mengumumkan permainan baharu iaitu The Complex, di mana ianya bakal tiba 31 Mac 2020 ini di konsol PlayStation 4, Xbox One, Switch dan juga PC.
The Complex memfokuskan penceritaan dua orang saintis yang terdampar di makmal selepas bandaraya London di serang dengan senjata bio. Melaluinya, pemain akan diberi pilihan dialog untuk membuat keputusan yang mana setiap pilihan pemain akan menyebabkan konklusi pengakhiran berbeza.
Semestinya konsep permainan ini bukanlah sesuatu yang baru untuk siri permainan FMV, meskipun begitu apa yang membuatkan permainan ini menarik adalah ianya kelihatan akan memfokuskan pelbagai bentuk teknologi dengan senjata bio yang jarang sekali diperlihatkan untuk permainan bergenre FMV.
The Complex dibintangi oleh Michelle Mylett, Kate Dickie, AL Weaver dan Leah Viathan.
Bagi anda yang berminat untuk mengetahui informasi lanjut permainan ini, anda boleh ke pautan rasmi permainan ini.