Informasi Permainan Video Terkini
Predator League 2020 Di Manila, Filipina Ditunda Sehingga Pertengahan Tahun Ini Atas Sebab Wabak Koronavirus

Predator League 2020 Di Manila, Filipina Ditunda Sehingga Pertengahan Tahun Ini Atas Sebab Wabak Koronavirus

Diterbitkan pada Feb 5, 2020 oleh .

Tahun lepas, kami berkongsi yang mana kejohanan tahunan Asia Pacific Predator League 2020 akan diadakan di Manila, Filipina pada 19 hingga 23 Februari 2020 ini. Sejak pengumuman tersebut, Acer telah pun mengadakan pelbagai kejohanan pusingan kelayakan seperti pasukan Flower Gaming yang akan mewakili Malaysia ke pusingan akhir tersebut di Manila.

Terkini, secara rasminya Acer mengumumkan yang mana kejohanan tersebut akan ditundakan. Penundaan ini adalah disebabkan wabak Koronavirus (2019-nCoV) yang sedang menular sekarang. Menurut mereka, kejohanan tersebut akan ditunda sekitar Jun atau Julai ini dan akan mengumumkan lebih lanjut kelak.

Selain itu, Acer juga menyatakan bahawa hampir 20,000 tiket kejohanan tersebut telah terjual dan mereka akan mengumumkan penggunaan atau pembayaran semula tiket tersebut di laman rasmi Predator League dan Acer akan menghubungi pembeli secara terus.

Bagi peserta kejohanan tersebut, Acer juga akan mengemaskini perubahan peraturan dan sebarang kemaskini termasuklah tarikh baharu kejohanan tersebut setelah ianya ditetapkan kelak.

Semestinya wabak koronavirus ini adalah satu wabak yang sedang menular dan sangat berbahaya dan penundaan ini adalah satu tindakan bagus sekali bagi pihak Acer untuk memastikan agar ianya tidak merebak dan pada masa yang sama mengurangkan risiko kesihatan buat pelawat dan juga peserta.

Kami di Aksiz juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan anda untuk sentiasa berwaspada dengan memakai topeng muka dan sentiasa mencuci tangan anda sebelum dan selepas keluar.


TIPS & ULASAN