Setelah mengumumkannya tahun lepas, kemaskini Wastelanders buat permainan Fallout 76 akhirnya mempunyai tarikh pelancaran iaitu ia bakal tiba di semua plaftorm permainan tersebut bermula 7 April 2020 ini.
Seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum ini, kemaskini ini merupakan kemaskini percuma buat semua pemain Fallout 76 yang mana ianya menyertakan pelbagai kandungan baharu.
Antara kandungan terbesar adalah misi utama baharu dengan pengubah-suaian misi sedia ada. Ini adalah kerana kali ini, melalui kemaskini Wastelanders ini Bethesda akhirnya menyertakan watak-watak NPC (Watak yang tidak boleh dimainkan) iaitu penduduk-penduduk di dalam pasca-apokaliptik tersebut. Melaluinya, pemain berupaya untuk berinteraksi dengan watak tersebut disamping melakukan misi yang mereka berikan ataupun mengkhianat mereka dengan bertempur dengan mereka.
Selain itu, kemaskini ini juga menyertakan beberapa senjata, kelengkapan dan musuh baharu yang pemain boleh temui. Menariknya, kemaskini ini juga akan sertakan sistem reputasi baharu yang akan memberi kesan berdasarkan dialog dan pilihan yang dilakukan berdasarkan puak yang pemain pilih.
Untuk senarai penuh kemaskini dan cara termasuklah kandungan berkas yang pemain boleh beli seperti barangan tambahan dan sebagainya, anda boleh membaca kenyataan rasmi Bethesda di sini.
Bethesda juga mengumumkan yang Fallout 76 versi PC akan turut hadir melalui Steam, mereka sebelum ini hanya melancarkan melalui Bethesda.net sahaja. Versi Steam ini akan hadir bersama dengan kemaskini Wastelanders.
Bagi pemain yang sudah memiliki Fallout 76, Atoms dan langganan Fallout 1st tidak boleh dipindah ke Steam, termasuk juga Atoms yang diperoleh khusus untuk platform tersebut. Namun, barangan yang dibeli melalui Atomic Shop akan dikongsi untuk kedua-dua platform.
Fallout 76 telah pun dilancarkan pada 2018 lepas di konsol PlayStation 4, Xbox One dan PC.