Silent Hill dan Fatal Frame semestinya terkenal sebagai siri permainan seram yang memfokuskan pelbagai jenis makluk dan hantu yang sangat menyeramkan.
Terkini melalui laporan Rely On Horror, kedua-dua siri tersebut tampaknya bakal menerima adaptasi filem oleh Christophe Gans, iaitu pengarah asal untuk filem Silent Hill pertama pada 2006 lepas.
Menurut Christophe Gans, bagi filem Project Zero (Fatal Frame) akan memfokuskan lokasi di Jepun, di mana beliau tidak ingin mengubah akar siri tersebut yang berbentuk rumah seram Jepun. Manakala, beliau juga mengesahkan filem Silent Hill baharu juga kini dalam perancangan yang mana sekali lagi akan memfokuskan lokasi bandar perkampungan di Amerika Syarikat dengan elemen puritanisme.
Semestinya ini merupakan satu pengumuman yang sangat menarik dan dengan ini, sekurang-kurangnya kita bakal menerima kandungan baharu berkenaan Silent Hill dan ini juga mungkin projek yang diumumkan oleh pengarah seni Silent Hill sebelum ini.
Bagi siri Fatal Frame pula, ini juga adalah satu berita yang sangat menggembirakan buat mereka yang menanti siri ini untuk dikembangkan ke layar perak dan mungkin pada masa akan datang, Koei Tecmo mungkin akan membawa kembali permainan Fatal Frame ataupun membawa semula Fatal Frame ke konsol Switch.