Dengan perkembangan perkhidmatan penstriman siri TV dan juga filem seperti Netflix, iFlix, Disney+ dan pelbagai perkhidmatan lain, ia sudah makin menjadi mudah dan murah untuk menonton secara sah. Ia juga mungkin telah mengurangkan jumlah pengguna yang berharap dengan cara yang tidak sah.
Antara kekurangan utama mengenai perkhidmatan penstriman adalah filem-filem baharu akan mengambil masa lebih masa selepas tayangan di pawagan untuk ia tiba di perkhidmatan tersebut, dan ada juga filem yang langsung tidak tiba.
Cara yang termurah dan paling mudah sudah semestinya adalah menonton filem tersebut di panggung wayang, akan tetapi ada yang filem tidak hadir ataupun anda tidak mempunyai masa yang membenarkan. Jadi, cara seterusnya yang saya guna adalah menyewa (atau membeli) filem tersebut melalui iTunes Store (untuk peranti iOS) ataupun Play Store (untuk semua peranti).
Sebelum saya terangkan mengenainya, saya ingin terlebih dahulu berkongsi satu laman untuk melihat di mana sesuatu filem tersebut ditawarkan agar anda tidak tersalah menyewa atau membeli filem yang sudah dikeluarkan di Netflix contohnya.
JustWatch
JustWatch merupakan laman senarai-senarai filem serta siri TV yang ditawarkan di mana-mana perkhidmatan penstriman ataupun gedung digital. Menariknya, ia juga menawarkan senarai yang khusus untuk pasaran Malaysia, untuk lebih memudahkan pengguna tempatan.
Untuk Malaysia, ia mempunyai senarai untuk perkhidmatan berikut; Netflix, iFlix, Apple TV+, Viu, iTunes Store, Play Store, Guide Doc dan Mubi, ia mungkin tidak mengandungi beberapa perkhidmatan lain seperti dimsum, Prime Video yang mungkin perlu anda memeriksa secara sendiri.
Cara untuk menggunakan adalah agak mudah, anda boleh mendaftar akaun untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan lain, akan tetapi untuk fungsi biasa yang ingin digunakan ia tidak memerlukan pendaftaran.

Apa yang anda perlu lakukan adalah mencari sesuatu filem yang ingin ditonton, dan ia akan menyenaraikan tempat-tempat di mana filem tersebut boleh didapati.
[info]Layari: JustWatch.com[/info]Sewa
Seperti yang saya katakan di atas, cara yang paling murah dan mudah untuk menonton filem terbaru secara sah adalah dengan menyewanya di iTunes Store ataupun juga Play Store. Kebiasaan filem-filem terbaru akan hadir melalui dua gedung ini terlebih dahulu sebelum ia distrimkan melalui perkhidmatan penstriman.
Sistem sewa untuk kedua-dua gedung tersebut adalah sama, iaitu selepas anda menyewa, filem tersebut akan berada di senarai selama 30 hari sebelum anda perlu menyewanya sekali lagi. Apabila anda sudah mula menonton, anda mempunyai masa 48 jam untuk menghabiskannya, anda juga boleh menonton beberapa kali dalam masa 48 jam tersebut.
Di antara dua gedung digital tersebut berikut adalah antara kelebihan dan kekurangan;
Apple TV Store/iTunes Store
Bagi pengguna peranti Apple, melalui aplikasi Apple TV dan juga aplikasi iTunes Store, anda boleh membeli dan menyewa pelbagai filem, terbaru dan juga yang sudah lama dikeluarkan. Ia ditawarkan dengan harga sekitar RM50 untuk pembelian secara terus, dan sekitar RM12 untuk sewa.
Jika ingin dibandingkan harga, iTunes Store menawarkan filem dengan harga yang lebih murah berbanding Play Store, akan tetapi ia adalah terhad untuk peranti yang menyokong sahaja iaitu peranti iOS, Apple TV dan beberapa TV pintar terkini.
Google Play Store
Gedung yang saya syorkan adalah Google Play Store, walaupun anda tidak menggunakan apa-apa peranti berdasarkan Android. Ia adalah kerana, filem yang anda sewa atau beli, boleh di akses di lebih banyak tempat termasuk juga peranti iOS.
Kekurangan yang ada adalah Play Store kebiasaan menawarkan dengan harga yang lebih mahal, dan ada beberapa filem yang tidak ditawarkan melalui Play Store tetapi ada ditawarkan melalui iTunes Store.
[info]Layari: Google Play Store[/info]Di antara kedua-dua gedung tersebut saya sering menggunakan Play Store, tetapi jika ingin menonton sesuatu filem dengan segera, dan sekadar ingin menonton melalui telefon, saya juga menggunakan iTunes Store kerana ia lebih murah dan mempunyai pilihan yang lebih.
Dengan pelbagai tempat kita boleh dapatkan filem-filem secara sah, tidak kira melalui penstriman ataupun melalui tempat-tempat lain, saya merasakan peminat filem tidak lagi perlu terlalu bergantung kepada cetak rompak.
Apa pendapat anda mengenai sewa filem melalui iTunes Store ataupun Play Store untuk menonton filem, adakah ia berbaloi ataupun masih mahal untuk anda?