Respawn Entertainment kini tampaknya berjaya mengubah persepsi EA(Electronic Arts) yang mana kini permainan aksi pengembaraan solo, Star Wars Jedi: Fallen Order diumumkan telah terjual melebihi 8 juta salinan setakat suku ketiga tahun fiskal 2020.
Menurut Blake Jorgensen, ketua pegawai kewangan EA, asalnya mereka menyasarkan permainan tersebut akan terjual antara 6 hingga 8 juta salinan sahaja pada penghujung tahun fiskal 2020 iaitu sekitar penghujung Mac nanti. Namun, tampaknya walaupun belum tamat lagi tahun fiskal 2020, permainan tersebut telah pun melebihi sasaran mereka.
Menurut beliau lagi, kini mereka menyasarkan permainan tersebut untuk terjual sehingga 10 juta salinan sebelum tahun fiskal 2020 tamat dan mereka juga mengatakan permainan ini adalah satu hasil permainan aksi solo yang baik.
Semestinya dengan kejayaan ini, kami percaya EA mungkin akan mengubah cara pemasaran mereka pada masa akan datang dan akan fokus lebih banyak permainan solo. Dengan ini, kami juga berharap agar Respawn Entertainment terus membawa lebih banyak permainan menarik, terutamanya dengan bakal tibanya konsol generasi seterusnya tidak lama lagi.