Permainan realiti-maya Astro Bot: Rescue Mission semestinya salah satu permainan realiti-maya di PlayStation VR kesukaan kami di mana di dalam ulasan kami sebelum ini, kami memberinya markah yang sangat tinggi atas bentuk permainannya yang sangat unik dan berkesan dalam bentuk realiti-maya.
Terkini, pengarah permainan tersebut iaitu Nicolas Doucet kini dilantik sebagai pengarah pembangun permainan tersebut, iaitu SIE Japan Studio. Kenyataan ini diumumkan melalui laman rasmi SIE.
Nicolas Doucet sebelum ini telah pun terlibat dengan pelbagai pembangunan permainan video termasuklah beberapa permainan di konsol PlayStation seperti The PlayRoom dan EyePet di mana beliau juga telah bersama Sony lebih dari 16 tahun.
Dari segi bekas pengarah SIE Japan Studio iaitu Allan Becker, Sony tidak berkongsi sebarang kenyataan berkenaannya.
Semestinya dengan pengumuman ini, kami juga percaya Sony dan SIE Japan Studio akan mengumumkan pelbagai lagi pengumuman menarik untuk tahun ini, terutamanya siri Ape Escape dan konsol PlayStation 5 yang bakal tiba penghujung tahun ini.