4 Permainan Menarik Untuk Bulan Februari 2020

Kita masih di-peringkat bulan madu untuk tahun ini, bulan lepas dan bulan ini, masih tidak banyak permainan mercu yang dikeluarkan. Namun, masih ada beberapa permainan menarik yang akan tiba pada Februari ini.

Berikut adalah 4 permainan menarik pilihan kami yang akan dikeluarkan pada bulan Februari ini;

Persona 5 Royal

Seperti permainan Persona sebelum ini, Atlus sekali lagi mengeluarkan versi baharu untuk permainan Persona 5 iaitu Persona 5 Royal. Melaluinya, ia akan menyertakan beberapa watak baharu termasuk juga watak yang boleh digunakan. Ini sudah semestinya satu permainan yang menarik bagi pemain yang ingin kembali bermain ataupun yang tidak pernah mencuba sebelum ini. Persona 5 Royal akan mencuri hati anda pada 20 Februari 2020 untuk PlayStation 4.

Street Fighter V: Champion Edition

Street Fighter melalui permainan terkini mereka iaitu Street Fighter V masih lagi antara permainan perlawanan yang paling popular. Namun, satu perkara mengenainya adalah agak sukar untuk pemain mendapatkan kandungan-kandungan tambahan tanpa membeli setiap-nya secara berasingan. Namun, melalui edisi baharu ini, pemain boleh mendapat segala kandungan melalui satu pembelian sahaja. Edisi ini akan tiba pada 14 Februari 2020 untuk PlayStation 4 dan PC.

One Punch Man: A Hero Nobody Knows

Secara jujurnya, saya sendiri merasakan yang sudah terlalu lambakan permainan perlawanan yang diterbitkan oleh Bandai Namco. Namun, permainan ini menarik minat kerana ia adalah berdasarkan siri One Punch Man yang seperti kita sedia maklum, tidak banyak pertempuran apabila melibatkan Saitama. Jadi saya tertarik bagaimana Saitama akan disertakan di dalam permainan ini bersama dengan ingin mencuba kuasa-kuasa pelbagai watak di dalamnya. Ia akan tiba pada 28 Februari 2020 untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC.

Mega Man Zero/ZX Legacy Collection

Selepas ditunda hampir sebulan, koleksi Mega Man Zero/ZX akhirnya akan tiba pada 25 Februari ini di kesemua platform mercu. Ia merupakan koleksi yang menyertakan 6 permainan di dalam satu iaitu Mega Man Zero 1 hingga 4 dan Mega Man ZX bersama dengan Mega Man ZX Advent. Ia bukan sekadar pengeluaran sahaja tetapi juga akan menyertakan pelbagai kandungan baharu termasuk mod iaitu Z-Chaser. Ia sudah semestinya permainan yang menarik untuk peminat permainan Mega Man.


Berikut adalah 4 permainan menarik yang akan dikeluarkan pada bulan Februari, kebanyakan adalah pada pengakhiran bulan, jadi jika anda masih mempunyai backlog permainan sebelum ini, ini adalah masa untuk menghabiskannya sebelum bulan sibuk bermula pada bulan depan.

Untuk permainan lain yang akan dikeluarkan pada bulan Februari anda boleh merujuk senarai yang kami sertakan di bawah.

Sohor Kini