Garena iaitu penerbit yang berasal dari Singapura mengumumkan yang mereka mengambil alih Phoenix Labs iaitu pembangun untuk permainan Dauntless. Kos pengambil-alihan tersebut tidak diumumkan.
Buat masa ini, pengurusan Phoenix Labs dan juga struktur studio tidak akan menyertakan sebarang perubahan, manakala Garena menyatakan pengambil-alihan ini adalah untuk menguatkan lagi kebolehan pembangunan mereka dan pada masa sama memberikan Phoenix Labs lebih pengetahuan berdasarkan pengalaman mereka di dalam industri permainan mudah alih dan pembinaan komuniti.
Garena sebelum ini juga merupakan antara syarikat terawal yang melakukan pelaburan untuk syarikat tersebut. Dauntless merupakan permainan tunggal untuk Phoenix Labs buat masa ini. Ia sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, Xbox One, Switch dan PC.