Awal bulan ini, Nintendo mengumumkan yang mana servis Pokémon Home akan dilancarkan Februari ini dan terkini, mereka akhirnya melancarkan laman rasmi servis tersebut yang mana ianya memperlihatkan pelbagai informasi lanjut berkenaannya, termasuklah harga langganan.

Perkara pertama yang kami ingin tekankan adalah jenis langganan tersebut di mana seperti yang kami laporkan sebelum ini, servis ini mempunyai versi Premium dan versi percuma. Di mana versi Premium, akan menyertakan beberapa fungsi tambahan seperti keupayaan untuk menyimpan Pokémon sehingga 6,000 ekor. Bagi senarai penuh perbezaan versi percuma dan versi Premium, anda boleh melihatnya di atas.

Dari segi harga pula, langganan Pokémon Home mempunyai 3 bentuk pembayaran di mana anda boleh terus melanggan untuk sebulan dengan harga $2.99(~RM13) ataupun untuk 3 bulan dengan harga $4.99(~RM21) ataupun terus selama setahun dengan harga $15.99(~RM66).

Dari segi penukaran dan pemindahan Pokémon, imej di atas akan memperlihatkan beberapa permainan yang menyokong fungsi ini di mana permainan dari konsol Switch iaitu Pokémon Sword, Pokémon Shield, Pokémon Let’s Go Eevee dan Pokémon Let’s Go Pikachu akan menyokong dan boleh dipindahkan ke Pokémon Home.

Selain itu, fungsi Pokémon Bank di dalam permainan Pokémon di konsol 3DS juga boleh dipindahkan ke Pokémon Home. Manakala bagi permua Pokémon GO pula, The Pokemon Company menyatakan fungsi pemindahan ke Pokémon Home buat permua tersebut akan tiba pada masa akan datang.

Selain itu, Pokémon Home juga akan menyertakan fungsi untuk menukar Pokémon dengan pelatih Pokémon lain dan menurut The Pokémon Company, fungsi penukaran di dalam Pokémon Home akan mempunyai 4 cara berbeza. Cara pertama adalah menggunakan Wonder Box, iaitu fungsi yang akan menukarkan Pokémon secara global tanpa perlu membuka aplikasi Pokémon Home. Fungsi ini kelihatan akan menukar Pokémon secara rawak, apabila anda meletakkan Pokémon di dalam kotak Wonder Box tersebut.

Cara kedua pula adalah GTS, iaitu fungsi penukaran Pokémon yang anda boleh tetapkan untuk dapatkan Pokémon yang anda inginkan. Menariknya melalui fungsi ini, anda juga boleh membuat permintaan untuk mendapat Pokémon yang tidak berada di dalam senarai kebangsaan Pokédex di dalam Pokémon Home.

Cara seterusnya pula adalah melalui Room Trade, dimana anda boleh menghasilkan satu lobi khas untuk pelatih Pokémon lain sertai, dan had lobi tersebut adalah sehingga 20 pelatih.

Cara terakhir pula melalui Friend Trade, iaitu pelatih Pokémon boleh menukarkan Pokémon bersama rakan pelatih dan seperti biasa, fungsi ini adalah seakan sama dengan fungsi penukaran Pokémon sebelum ini yang mana pemain perlu mendaftar senarai kawan dahulu sebelum membuat penukaran.

Selain daripada fungsi di atas, Pokémon Home juga akan menyertakan pelbagai fungsi-fungsi lain seperti senarai Pokédex kebangsaan dan melaluinya pelatih Pokémon boleh melihat bukan sahaja Pokémon, malah status, kemahiran dan sebarang informasi lanjut berkenaan Pokémon tersebut.

Selain itu, Pokémon Home juga akan sertakan beberapa fungsi dan acara khas seperti ganjaran “Mystery Gifts” yang akan disertakan dari semasa ke semasa. Terdapat pelbagai lagi fungsi seperti keupayaan untuk menilai Pokémon, data pertempuran Pokémon dan senarai berita berkenaan Pokémon boleh di akses melalui aplikasi Pokémon Home tersebut.

Menariknya sekali, Pokémon Home juga akan sertakna satu nilai markah Pokémon Home Points khas yang mana akan dikirakan berdasarkan jumlah Pokémon yang pemain masukkan di dalam aplikasi tersebut. Nilai markah tersebut boleh digunakan untuk ditukarkan dengan pelbagai ganjaran yang tersedia.

Seperti yang kami kongsikan di atas, versi percuma Pokémon Home ini akan mempunyai beberapa had yang pemain boleh lakukan. Namun, bagi anda yang ingin menukar mahupun menyimpan Pokémon dengan lebih banyak, anda tampaknya perlu melanggan versi Premium.

Semestinya untuk informasi lanjut dan senarai penuh berkenaan cara untuk menetapkan fungsi Pokémon Home di peranti telefon pintar, mahupun di permainan Pokémon Sword dan Pokémon Shield di Switch, anda boleh ke laman rasmi Pokémon Home untuk melihatnya.

Pokémon akan dilancarkan secara rasmi sekitar bulan Februari ini di konsol Switch dan juga aplikasi khas di peranti telefon pintar buat iOS dan Android.

Sohor Kini