Selepas pengumuman penundaan permainan Torchlight Frontiers tahun lepas, Echtra Games hari ini mengumumkan yang mana mereka menjenamakan semula permainan tersebut sebagai Torchlight III.
Sekaligus dengan pengumuman ini, mereka juga menyatakan beberapa perubahan yang bakal berlaku, termasuklah bentuk pelancaran permainan ini yang mana kini ianya disahkan bakal tiba di Steam buat platform PC.
Menurut Max Schaefer, iaitu penerbit permainan ini, beliau menyatakan bahawa Torchlight III akan menjadi satu sambungan asal untuk permainan Torchlight I dan II. Selain itu, Torchlight juga akan menjadi satu permainan premium dan ianya boleh dimain secara atas-talian ataupun luar talian.
Echtra Games juga mengesahkan bahawa mereka akan terus memberi sokongan pelbagai kandungan setelah permainan tersebut dilancarkan dan pada masa yang sama kandungan bersama bentuk permainan juga diubah-suai. Bagi senarai perubahan, anda boleh melihat di laman rasmi Torchlight III.
Menurut mereka, keputusan ini dilakukan adalah hasil daripada sesi percubaan antara pemain Alpha dan juga di dalam syarikat mereka sendiri di mana mereka percaya pelancaran ini adalah lebih baik untuk siri Torchlight.
Bersempena dengan pengumuman ini, mereka juga memperlihatkan video acah baharu khas buat Torchlight III di bawah.
Dari segi tarikh pelancaran, Echtra Games masih belum mengumumkannya secara rasmi, namun ianya disahkan bakal hadir sekitar tahun ini di PC dahulu dan diikuti pelancaran di konsol.