Coffee Talk merupakan permainan pengembaraan yang boleh juga dianggap sebagai permainan visual novel. Ia dibangunkan oleh Toge Production iaitu sebuah studio pembangun permainan video yang berasal dari Indonesia. Pertama kali saya mendengar permainan ini, adalah semasa Level UP KL pada tahun 2018, di mana ia telah memenangi Anugerah Penceritaan Terbaik.
Ia akan dikeluarkan secara rasmi pada 30 Januari di PlayStation 4, Xbox One, Switch dan PC. Toge Production telah memberi peluang kepada saya untuk mencubanya dengan lebih awal dan berikut adalah ulasan untuknya.

Cerita
Sebagai satu permainan yang seakan visual novel, fokus utama untuk permainan ini sudah semestinya adalah penceritaan. Saya boleh katakan 80% kandungan di dalam permainan ini adalah mengenai penceritaan. Jadi, kualiti penceritaan akan menentukan kualiti permainan ini, dan saya gembira untuk katakan ia mempunyai penceritaan yang baik.
Di dalam Coffee Talk anda merupakan seorang pemilik kafe dan juga merupakan seorang barista. Sebagai seorang barista, pemain akan mendengar pelbagai perbualan oleh pelanggan yang hadir, sama ada perbualan secara terus dengan pemain ataupun perbualan di antara dua atau tiga watak yang lain.
Menariknya, permainan ini berlatar tempatkan di Seattle, Amerika Syarikat akan tetapi ia juga mempunyai pelbagai bangsa lain antaranya adalah Elves, Dwarves dan Orc selain daripada bangsa manusia. Mereka semua ini lah yang akan menjadi pelanggan di kafe pemain dan setiap seorang akan membawa cerita tersendiri.
Penceritaan-penceritaan yang di bawah bukanlah satu penceritaan yang rumit, dan ia juga tidak cuba untuk menjadi lain walaupun menggunakan bangsa berlainan. Bahkan seorang watak di dalam permainan ini menerangkan dengan baik mengenai penceritaan yang ada di dalam permainan ini.
“Ia bukanlah satu penceritaan yang unik, akan tetapi tidak bermakna yang ia tidak menarik.”
Dan saya sangat bersetuju dengan kenyataan tersebut, penceritaan yang ada memberikan satu pengalaman bermain baik, tetapi ada masa yang ia akan bermain degan emosi seperti marah dan sedih. Tambahan lagi, pemain merupakan seorang barista sahaja, pemain tidak boleh secara terus terlibat di dalam penceritaan tersebut sebaliknya sekadar mendengar sahaja dan ia memberikan satu pengalaman yang berlainan berbanding anda akan menjadi watak yang menyelesaikan segala masalah.

Penceritaan yang disertakan merangkumi pelbagai masalah daripada mengenai perhubungan antara dua kekasih, masalah perkauman, sehinggalah masalah crunch di dalam pembangunan permainan video. Walaupun penceritaan menggunakan “bangsa” lain, akan tetapi permainan ini secara sendirinya mengatakan walaupun bangsa lain tidak wujud, permasalahan ini akan terus berlaku. Seperti kita sedia maklum, realitinya ia adalah benar.
Walaupun menyertakan pelbagai penceritaan di dalam satu permainan, ia tidak mengganggu dan tidak terasa seperti terlalu kucar kacir, sebaliknya setiap penceritaan dilakukan dengan kemas dan tidak terasa seperti setiap satunya mengurangkan kesan penceritaan yang lain.
Penceritaan juga dibantu dengan perwatakan setiap watak yang unik. Setiap orang mempunyai gaya tersendiri yang menjadikan ia lebih menarik dan “berwarna”. Semasa bermain saya merasakan satu perhubungan yang dekat dengan setiap watak yang hadir, walaupun ia bukanlah satu permainan yang panjang iaitu lebih kurang 5 jam sahaja untuk dihabiskan. Namun, dalam masa yang pendek ini, setiap watak dikembangkan dengan baik.
Ini dibantu lagi dengan penulisan dialog yang dilakukan dengan bagus sekali. Ia memberikan satu perasaan yang saya benar-benar sedang berbual dengan pelanggan-pelanggan dan berhubung dengan mereka. Setiap dialog juga tidak terasa janggal (melainkan dilakukan dengan sengaja). Dialog juga membantu untuk memberi personaliti yang unik kepada setiap watak.

Bentuk Permainan
Jika 80% adalah penceritaan, hanya tinggal 20% sahaja untuk bentuk permainan yang bagi sesetengah pemain ia adalah elemen penting yang menjadikan ia satu permainan video.
Sepanjang saya bermain, kebanyakan apa yang saya lakukan adalah membaca dialog. Jika anda pernah mencuba permainan sebegini dan merasakan ia bosan, saya tidak merasakan ia akan mengubah perasaan anda, akan tetapi jika anda menyukai permainan sebegini anda akan menyukai Coffee Talk.
Selain membaca dialog, sebahagian kecil bentuk permainan adalah anda akan membancuh minuman mengikut permintaan setiap watak (atau tidak). Anda akan mempunyai pelbagai bahan, seperti kopi, teh, teh hijau, susu, madu, dan halia. Setiap bahan ini akan menentukan ciri minuman tersebut, terdapat 4 ciri utama iaitu Warm, Cool, Sweet dan Bitter.
Walaupun ia adalah sebahagian kecil permainan, tetapi jenis minimum yang diberikan kepada pelanggan akan menentukan dialog dan juga perjalanan penceritaan di dalam permainan ini. Memberikan minuman yang ditempah akan membantu untuk anda menjadi makin rapat dengan pelanggan dan ada masa juga yang memerlukan untuk anda memberi minuman yang berlainan daripada yang ditempah untuk membantu watak tersebut.

Jika anda makin rapat dengan watak-watak lain, maklumat lanjut juga akan dinyatakan melalui laman profil Tomodachi (media sosial di dalam permainan ini) yang boleh diakses melalui telefon watak pemain.
Jadi sesuatu yang sering digunakan melalui pilihan dialog, di dalam permainan ini ia menjadikan minuman yang diberikan sebagai pilihan anda dan bagi saya ia dilakukan dengan baik walaupun kadang-kadang anda mungkin tidak pasti yang perlu dilakukan.
Jika anda seorang yang seperti saya, ingin satu penceritaan yang sempurna, permainan ini memberikan pengakhiran yang baik untuk memastikan anda tahu apa yang boleh dilakukan dengan cara yang lain. Selepas pemain menghabiskan penceritaan buat pertama kali, pemain akan diberitahu tempat yang mana anda melakukan “kesilapan” supaya anda boleh kembali ke adegan tersebut dan memperbetulkannya.
Pemain juga tidak perlu bermain daripada awal kerana anda boleh memilih adegan tertentu secara terus. Jika anda ingin dapatkan semua trofi yang ada, ia tidak memerlukan anda untuk bermain keseluruhan permainan berkali-kali. Bagi saya, ia adalah satu perkara yang sangat bagus untuk disertakan di dalam permainan sebegini.
Terdapat juga Endless di mana ia mempunyai dua mod iaitu Free Brew dan Challenge. Free Brew adalah mod untuk anda mencuba pelbagai kombinasi minuman dan mencari resipi-resipi yang tersedia di dalam permainan. Manakala untuk mod Challenge, anda mesti memberikan minuman seperti yang ditempah sebanyak mungkin di dalam jangka masa yang diberikan.
Jika anda seorang kreatif, anda juga boleh melukis “latte art” jika anda membancuh minuman yang mempunyai susu.

Grafik
Arahan seni dan rekaan grafik untuk permainan ini dilakukan dengan ringkas, ia menggunakan grafik gaya Pixel. Latar belakang adalah hiasan untuk kafe, yang menjadi penarik utama sudah semestinya pelanggan-pelanggan yang juga merupakan watak di dalam permainan ini.
Setiap watak direka dengan unik, ini ditambah lagi terdapat pelbagai bangsa lain dan ia tidak sekadar terhad kepada manusia sahaja. Rekaan watak ini membantu untuk memberi personaliti kepada setiap watak yang seperti saya terangkan sebelum ini sudah dilakukan dengan cukup baik.
Oleh kerana permainan ini tidak mempunyai lakonan suara, ataupun sebarang animasi besar, ia menggunakan ekspresi wajah untuk memberikan perasaan kepada setiap dialog dan ia harus dilakukan dengan sedikit “melampau” untuk memberikan perasaan dan saya boleh katakan permainan ini berjaya untuk melakukannya.
Terdapat banyak resipi-resipi minuman yang tersedia, dan jika anda berjaya menghasilkannya berdasarkan resipi yang betul, ia akan mempunyai rekaan minuman yang unik dan tidak generik, walaupun ia bukanlah satu rekaan yang seperti dunia nyata, tetapi ia masih menarik untuk membancuh minuman tersebut.
Audio
Permainan ini tidak mempunyai sebarang lakonan suara, rekaan audio hanya memfokuskan kepada muzik latar dan juga kesan bunyi. Muzik latar yang disertakan adalah muzik jenis lo-fi yang membantu untuk memberi perasaan yang anda benar-benar di dalam kafe, ia juga membantu untuk menemani anda semasa sedang membaca dialog.
Selain itu, kesan bunyi lain seperti pintu, membancuh minuman serba sedikit menambah lagi menjadikan persekitaran seakan di dalam satu kafe yang sebenar. Semasa bermain permainan ini, saya membuat dialog bergerak secara automatik, membancuh kopi sendiri dan “bermain” sambil mendengari muzik, ia adalah satu permainan yang sangat menangkan.
Anda juga boleh mengawal lagu-lagu yang sedang bermain melalui kawalan di telefon pintar watak pemain.
Rumusan
Akhir kata, Coffee Talk adalah satu permainan yang ringkas, yang berjaya menjadi permainan yang pembangun sasarkan. Mempunyai penceritaan yang mudah untuk difahami tetapi masih mempunyai sentuhan emosi. Bentuk permainan yang ringkas bukanlah satu kelemahan tetapi menjadi kelebihan untuk memberi perasaan yang tenang bagi permainan ini, menjadikan ia satu permainan yang boleh dihayati dengan tenang.
Namun, ia bukanlah satu permainan yang memukau yang akan membuatkan pemain menyukai genre visual novel, ia adalah permainan yang akan disukai untuk pemain yang memang meminati genre ini.

Penafian: Kod permainan untuk Coffee Talk disediakan oleh Toge Production.