Melalui laman Facebook rasmi Ejen Ali, Wau Animation hari ini mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan satu permainan khas berdasarkan siri Ejen Ali, yang memfokuskan bentuk permainan MOBA (Multiplayer Online Battle Arena) iaitu permainan seakan berbentuk Dota 2 ataupun Mobile Legends.

Dengan nama Ejen Ali: Agent’s Arena, permainan tersebut tampaknya akan dilancarkan dahulu secara beta tertutup di mana Wau Animation kini membuka pendaftaran beta tersebut melalui laman rasmi permainan tersebut.

Semestinya bagi anda yang mengikuti siri animasi Ejen Ali, ejen perisik di dalam siri tersebut mempunyai pelbagai kelas-kelas watak seperti Inviso, Combat, Techno dan Neuro yang mana pasti adalah sangat sesuai untuk satu permainan yang berbentuk MOBA. Kami juga percaya permainan ini akan memfokuskan bentuk permainan multi-pemain sebanyak empat lawan empat.

Meskipun begitu buat masa ini, Wau Animation masih belum berkongsi sebarang informasi lanjut berkenaan permainan tersebut termasuklah platform permainan.

Bagi anda yang berminat untuk mencuba, anda boleh ke laman rasmi di bawah dan mendaftarkan alamat emel anda untuk berpeluang mencuba permainan Ejen Ali; Agent’s Arena lebih awal.

Daftar: Ejen Ali: Agent’s Arena

Sohor Kini