Final Fantasy VII semestinya salah satu permainan ikonik buat konsol PlayStation 1 yang dilancarkan lebih dari 20 lepas di mana ianya bukan sahaja mempunyai pelbagai pelancaran kandungan sampingan dari filem sehinggalah siri animasi malah pelbagai permainan sampingan lain di pelbagai platform.

2015 lepas, Square-Enix mengumumkan secara rasmi yang mana mereka akan mengolah semula permainan tersebut secara keseluruhan di mana bukan sahaja ia akan mempunyai visual grafik baharu dengan kawalan permainan baharu, malah Square-Enix juga mengesahkan bahawa mereka akan menambah pelbagai kandungan penceritaan tambahan untuk mengembangkan lagi kisah sejarah Final Fantasy VII.

Terkini, setelah pengumuman bahawa permainan tersebut ditunda sehingga 10 April 2020, kami berpeluang untuk mencuba demo awal permainan tersebut ketika di acara khas tertutup oleh Sony Interactive Entertainment pada minggu lepas.

Dukacitanya, demo yang kami cuba hanyalah demo yang disediakan ketika acara E3 2019 lepas, sekaligus pandang pertama ini hanyalah akan berdasarkan demo tersebut sahaja.

Grafik dan Visual

Seperti yang kami nyatakan di atas, demo yang kami berkesempatan untuk cuba main adalah berdasarkan demo dari E3 tahun lepas, sekaligus ia semestinya bukan versi terkini buat permainan tersebut dan terdapat beberapa cacat cela.

Ini menyebabkan sepanjang sesi percubaan saya juga berasa agak mengecewakan kerana terdapat beberapa masalah dari segi grafik terutamanya tekstur model-model persekitaran yang agak rendah dan juga rambut Cloud yang kelihatan sangat kabur.

Namun ini tidak bermakna kualiti yang disampai adalah tidak bagus, Final Fantasy VII Remake jelas kelihatan mempunyai visual dan rekaan persekitaran yang menarik bahkan jika dilihat di video acah yang dikongsikan, permainan boleh dikatakan permainan Square-Enix tercantik setakat ini.

Dari segi prestasi pula ianya tidaklah mempunyai sebarang masalah. Saya tidak langsung menghadapi masalah kadar bingkai sesaat dan ketika sesi percubaan saya, permainan ini dimainkan di konsol PlayStation 4 Pro dengan resolusi 4k yang baik. Namun dari segi bingkai sesaat, ianya hanyalah terhad kepada 30FPS sahaja.

Dengan penggunaan enjin permainan Unreal Engine 4 juga, permainan ini juga berasa sangat lancar dan boleh dikatakan satu kejayaan sangat besar dan berbeza buat Square-Enix jika dibandingkan dengan permainan asalnya.

Meskipun begitu, memandangkan ianya adalah demo, saya pasti apabila permainan ini dilancarkan secara rasmi kelak, Square-Enix pasti akan membaiki segala masalah-masalah yang saya nyatakan di atas.

Kawalan

Semestinya perkara paling penting sekali untuk pandang pertama ini adalah kawalan dan bentuk permainan Final Fantasy VII Remake, yang mana saya boleh katakan, Square-Enix melakukan satu permainan olahan semula yang sangat baik sekali.

Walaupun demo yang saya cuba tersebut hanyalah sekitar 20 minit sahaja di mana saya akan bertembung dengan beberapa musuh dengan ketua musuh “Scorpion” di peringkat awal permainan, saya masih lagi sempat mencuba beberapa bentuk serangan seperti Limit Break, serangan magis dan memahami bagaimana sistem ATB (Active Time Battle) berfungsi.

Pada permulaan demo, saya di beri beberapa panduan untuk bermain yang mana ia menerangkan beberapa aspek kawalan permainan seperti pergerakan dan butang untuk berinteraksi dengan watak-watak sekeliling.

Demo tersebut dimulakan di hampir bahagian akhir untuk “Bombing Mission” pada peringkat awal permainan di mana saya berpeluang untuk bertembung dengan 3 pasukan musuh sebelum bertempur dengan ketua musuh Scorpion.

Sepanjang demo tersebut, permainan ini menyediakan watak kedua yang saya boleh gunakan iaitu Barret dan seperti anda tahu, beliau menggunakan senjata api di tangan, yang memfokuskan serangan jarak jauh.

Semestinya saya akan menerangkan dengan lebih lanjut mengikut kenyataan di bawah, namun dari segi kawalan asas yang lain, anda boleh menggerakkan watak, mengubah kamera, bercakap dengan watak-watak lain dan juga memukul atau memotong kotak-kotak yang bergelimpangan untuk dapatkan barangan dan sebagainya.

Anda juga boleh membuka kotak harta karun untuk mendapatkan barangan dan juga berinteraksi dengan tangga untuk turun ke platform-platform ataupun tingkat berbeza.

Kenapa Bentuk Pertempuran “Tactical Mode” Penting

20 tahun lepas, siri Final Fantasy semestinya sangat terkenal dengan bentuk pertempuran secara turutan yang mana ianya boleh dikatakan satu bentuk permainan klasik untuk kebanyakan permainan JRPG.

Terkini, melalui Final Fantasy VII Remake, Square-Enix melakukan sebilangan perubahan yang agak besar, namun mereka masih mengekalkan lagi elemen klasik pemilihan arahan seakan bentuk secara turutan dahulu.

Sistem pertempuran baharu buat Final Fantasy VII Remake sememangnya berlainan dan lebih memfokuskan bentuk pertempuran secara nyata. Melaluinya, anda boleh menyerang dengan menekan butang Petak, dan mengelak dengan menekan butang Pangkah. Anda juga boleh menahan dengan menekan butang R1. Manakala butang L1 pula akan menyenarai butang pintas untuk anda lakukan kemahiran-kemahiran ataupun menggunakan ubat Potion.

Namun, semestinya perkara paling penting sekali adalah sistem “Tactical Mode” di mana ianya sedikit sebanyak adalah sistem pemilihan arahan seperti permainan asal Final Fantasy VII. Untuk mengakses Tactical Mode, anda hanya perlu menekan butang Bulat, dan permainan tersebut akan bergerak secara perlahan ataupun ianya seakan terjeda seketika untuk membenarkan anda untuk membuat pilihan arahan yang terpilih.

Terdapat beberapa pilihan yang anda boleh lakukan seperti melakukan kemahiran serangan yang unik untuk setiap watak di bahagian “Abilities”, melakukan serangan magis di bahagian “Spells” ataupun menggunakan barangan di bahagian “Items”.

Selain itu, seperkara yang anda perlu tahu adalah permainan ini hanya membenarkan anda untuk mengawal seorang watak sahaja, sekaligus watak teman anda yang lain hanya akan dikawal secara automatik. Akan tetapi, anda masih lagi boleh mengarah mereka untuk melakukan sesuatu arahan dengan menekan butang L2 atau R2, untuk mengeluarkan menu “Tactical Mode” yang sama buat watak lain. Ini juga akan memudahkan anda untuk menyuruh watak teman anda untuk membuat serangan kemahiran ataupun membantu menyembuhkan watak yang anda gunakan dengan menggunakan Potion.

Meskipun begitu, anda juga boleh menukar kepada watak lain secara terus dengan menggunakan Dpad. Fungsi ini agak senang dan menarik memandangkan jika terdapat saat di mana salah seorang watak ditangkap oleh musuh, pemain boleh menukar watak dan terus membantu watak tersebut secara terus.

Namun penukaran watak hanya boleh dilakukan ketika bertempur sahaja. Ketika pemain kembali meneroka kawasan, pemain akan secara automatik hanya akan menggunakan watak Cloud sahaja.

Tactical Mode ini juga akan membantu anda untuk mengambil nafas dan berhenti seketika sewaktu bertempur dengan musuh yang kuat dan konsep ini sememangnya mengingatkan kami akan elemen bentuk pertempuran klasik di dalam Final Fantasy VII lebih dari 20 tahun lepas.

Bentuk ini juga seakan sama dengan fungsi “Wait Mode” yang berada di dalam Final Fantasy XV. Meskipun begitu, saya berasa Final Fantasy VII Remake ini menterjemahkan fungsi ini dengan lebih baik berbanding Final Fantasy XV.

Bagi anda yang lebih menyukai bentuk pertempuran yang lebih lancar, anda tidak sama sekali perlu menggunakan Tactical Mode ini kerana anda juga boleh tetapkan butang pintas yang saya nyatakan di atas, untuk terus menggunakan sebarang kemahiran atau barangan secara terus.

Akan tetapi terdapat satu perkara yang saya tidak sukai adalah ketika saya bertempur, saya tidak boleh membatalkan serangan saya yang mana sedikit sebanyak ia berasa agak menghukum pemain jika pemain silap melakukan pilihan serangan.

Sistem ATB (Active Time Battle) Yang Diperbaharui

Satu lagi fungsi yang sangat penting di dalam permainan ini adalah ATB ataupun Active Time Battle yang mana segala serangan kemahiran, Magis mahupun barangan yang ingin pemain guna, setiap aksi tersebut memerlukan pemain untuk gunakan bar ATB.

Namun, penggunaannya hanya terhad kepada kemahiran di atas, di mana fungsi lain seperti serangan biasa, mengelak ataupun menahan, ianya tidak langsung memerlukan bar tersebut.

Jika anda lihat imej di atas, bar biru di bawah nilai HP tersebut merupakan bar ATB yang mana secara keseluruhan ianya mempunyai 2 bar. Sepanjang pemain bertempur, bar tersebut akan dinaikkan secara automatik dan ianya juga akan dinaikkan dengan lebih pantas jika pemain berjaya menyerang musuh dengan serangan biasa

Setelah 1 bar tersebut penuh, pemain kemudiannya berupaya untuk menggunakan sebarang arahan di dalam Tactical Mode di atas, seperti melakukan serangan kemahiran “Abilities”, menggunakan barangan “Potion” dan sebagainya. Menariknya, serangan magis juga memerlukan bar ATB tersebut dan pada masa yang sama ianya juga akan menggunakan nilai MP watak. Terdapat juga beberapa kemahiran yang memerlukan 2 nilai ATB, sekaligus pemain perlu bijak memilih kemaharin yang pemain ingin lakukan.

Semestinya asas konsep ini ATB ini adalah berdasarkan konsep asal ATB di dalam Final Fantasy VII sebelum ini namun dikembangkan untuk serangan berkemahiran sahaja, yang mana pada pendapat saya diterjemahkan dengan baik sekali. Ini bukan sahaja memberi bentuk pertempuran yang strategik, malah ianya akan menguji pemain untuk bijak memilih arahan dan kemahiran tersedia.

Limit Break Dan Fungsi “Staggered” Musuh

Semestinya salah satu kemahiran utama di dalam siri Final Fantasy adalah Limit Break dan Final Fantasy VII Remake kali ini tidaklah mengubah fungsi tersebut dengan terlalu berbeza berbanding permainan asal.

Ketika pemain bertempur, nilai Limit Break akan tersedia di bawah dengan bar yang berasingan di mana ianya akan dinaikkan secara perlahan dan setelah ia penuh, pemain boleh terus membuka arahan “Tactical Mode” dan menggunakan kemahiran Limit Break tersebut.

Semestinya kemahiran Limit Break adalah berbeza buat setiap watak dan bagi peminat siri Final Fantasy VII, anda pasti akan menyukai di mana kemahiran Limit Break Cloud iaitu Cross-Slash juga kembali dan boleh digunakan untuk serangan yang sangat berkuasa terhadap musuh.

Selain itu, selain dari bar nyawa di musuh, musuh tersebut juga mempunyai satu bar khas di bawah bar nyawa iaitu bar “Staggered” di mana ianya akan meningkat secara perlahan setiap kali pemain menyerang musuh. Setelah bar tersebut penuh, musuh kemudiannya akan lumpuh seketika ataupun “Staggered” dan serangan pemain akan menjadi lebih kuat yang mana pasti akan memudahkan pemain untuk menumpasnya.

Sememangnya konsep “Staggered” ini tidak asing bagi kebanyakan permainan beraksi zaman sekarang. Namun dengan penyertaan ini ianya sedikit sebanyak memudahkan pemain dan pada masa yang sama membuatkan permainan ini berasa tidak begitu mendatar dan berulangan ketika bertempur.

Kesimpulan

Memandangkan sesi demo yang saya mainkan adalah berdasarkan E3 2019 lepas, sekaligus ianya tidak menyertakan beberapa bentuk dan kawalan tambahan lain seperti Punisher Mode mahupun akses untuk membuka menu dan status watak. Ini juga menyebabkan saya berasa tidak banyak yang saya boleh kongsikan berkenaan pandang pertama saya bagi Final Fantasy VII Remake ini.

Walaubagaimana pun, keseluruhan bentuk pertempuran yang dicuba oleh saya berasa agak ringkas dan mudah untuk dimainkan. Sekaligus saya percaya ianya tidak akan menjadi satu masalah dan ramai pemain pasti akan menyukainya.

Square-Enix sememangnya ingin mengolah semula Final Fantasy VII sebagai satu permainan beraksi, namun pada masa yang sama masih mengekalkan elemen pertempuran klasik melalui Tactical Mode yang mana pada pendapat saya, ia diterjemahkan dengan baik.

Dengan itu, saya juga percaya Final Fantasy VII Remake bakal menjadi satu permainan yang memuaskan bukan sahaja untuk pemain baharu malah peminat permainan asal Final Fantasy VII yang dilancarkan lebih dari 20 tahun lepas.

Bagi anda yang berminat, Final Fantasy VII Remake akan dilancarkan pada 10 April 2020 ini di konsol PlayStation 4 dan pra-tempah permainan tersebut sudah pun bermula melalui PSN Store bagi versi Digital dan versi fizikal pula boleh didapatkan di pengedar rasmi PlayStation.

Berikut adalah senarai harga mengikut edisi permainan.

Bagi informasi lanjut edisi terhad dan edisi Deluxe, anda boleh baca di artikel ini.

Sohor Kini