Skip to main content

Double Eleven minggu ini mengumumkan yang mereka bakal membuka studio baharu di Malaysia pada suku pertama tahun ini di Bangsar South. Mereka adalah syarikat penerbitan dan juga pembangunan permainan video yang mempunyai ibu pejabat di Teesside, England.

Sebelum ini, mereka terlibat membangunkan permainan seperti Little Big Planet, Limbo, Goat Simulator, Crackdown 3, Prison Architect, Minecraft Dungeons dan Rust.

Mereka berharap untuk mendapat akses kepada pasaran Asia yang menjadi makin penting untuk industri permainan video dengan pembukaan studio di Malaysia ini.

Bersempena dengan pembukaan ini, mereka juga sedang mencari pekerja untuk mengisi beberapa jawatan seperti Pengurus Studio, Penerbit, Ketua Pengawal Kualiti, Penguji Kualiti, Ketua Artis dan Pereka Animasi 3D. Untuk maklumat lanjut anda boleh rujuk laman mereka.

Naib Presiden, Kandungan Kreatif Digital, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Hasnul Hadi mengatakan jumlah bakat-bakat tempatan yang ramai, polisi kerajaan yang mesra perniagaan serta ekosistem yang baik merupakan sebab utama syarikat seperti Double Eleven membuat pelaburan di Malaysia. Tambah beliau, ini juga satu perkembangan yang baik untuk merealisasikan Polisi Ekosistem Kandungan Digital ataupun Digital Content Ecosystem Policy (DICE) yang diumumkan sebelum ini.

Double Eleven akan menyertai SIE Worldwide Studio dan Larian Studio untuk membuka cawangan di Malaysia.

Leave a Reply