Skip to main content

Seperti yang disahkan oleh Warner Bros. Interactive Entertainment sebelum ini, Joker daripada siri adiwira DC merupakan salah seorang daripada watak DLC buat permainan Mortal Kombat 11 dan kini buat mereka yang mempunyai pas musim permainan tersebut, mereka berupaya untuk menggunakan beliau menjelang 28 Januari 2020 ini. Bagi pemain lain ianya boleh dibeli secara berasingan bermula 4 Februari 2020 kelak.

Bersempena dengan pengumuman ini, NetherRealm Studios dan Warner Bros. Interactive juga berkongsi satu video acah khas yang memperlihatkan serangan dan kemahiran Joker dengan lebih lanjut, dan pasti sangat mengerikan.

Joker merupakan watak DLC ke-5 buat permainan yang mana pek pas musim Kombat tersebut akan menyertakan 6 watak DLC lain yang telah pun dilancarkan sebelum ini seperti Shang Tsung, Nightwolf, Terminator T-800 dan Sindel. Manakala watak keenam iaitu Spawn pula akan tiba 17 Mac 2020 ini.

Video acah di atas juga memperlihatkan sebilangan kostum DC Elseworlds buat sebilangan watak, dan yang menarik minat kami adalah kostum Batman Who Laughs buat watak Noob Saibot dan kostum Catwoman buat Kitana.

Bagi anda yang berminat, pek pas musim Kombat tersebut boleh dibeli dengan harga sekitar RM169, manakala bagi anda yang ingin membeli watak Joker secara berasingan, ianya dijual dengan harga RM25 setiap satu.

Mortal Kombat 11 telah pun dilancarkan di Playstation 4, Xbox One, Switch dan juga PC pada tahun lepas.

Leave a Reply