Nintendo semestinya terkenal dengan pelbagai aksesori-aksesori permainan yang membuatkan mereka bukan sahaja satu syarikat pembangun permainan yang unik, malah sangat inovatif dengan pelbagai bentuk permainan yang tidak konvensional.
Terkini, melalui paten baharu yang difailkan oleh Nintendo, kelihatan aksesori seterusnya oleh mereka adalah satu pengubah-suaian buat aksesori yang jarang sekali digunakan oleh pemain, iaitu tali JoyCon yang disertakan bersama konsol Switch, dengan satu fungsi baharu iaitu Stylus yang terbina.
Dari segi rekaan, semestinya aksesori tersebut kelihatan sama sahaja dengan tali JoyCon yang disertakan bersama konsol Switch sekarang ini, namun apa yang membuatkan ia berbeza di dalam paten ini adalah aksesori tersebut kelihatan mempunyai satu bahagian tambahan di atas, dengan satu bentuk pen Stylus yang diletakkan secara terbina.
Berdasarkan paten itu juga, ianya kelihatan membenarkan pemain untuk menggunakannya sebagai satu Stylus, seakan konsol Nintendo DS sebelum ini untuk berinteraksi dengan konsol Switch. Memandangkan konsol Switch mempunyai skrin sesentuh, semestinya ini adalah satu perkara yang tidak mengejutkan. Malah Nintendo sebelum ini juga memasarkan pemainan Dr Kawashima’s Brain Training bersama Stylus.
Seperkara lagi yang menarik minat saya adalah aksesori Stylus tersebut juga kelihatan boleh “diubah-suai” berdasarkan butang yang ditekankan oleh pemain di alat kawalan JoyCon, dan segala interaksi bersama Stylus tersebut juga akan menghasilkan gegaran, berdasarkan permainna yang dimainkan.
Semestinya ini adalah hanya satu paten yang difailkan oleh Nintendo dan tidak semestinya mereka akan memasarkan produk ini buat pengguna. Namun begitu, memandangkan konsol Switch boleh dikatakan adalah satu konsol utama Nintendo sekarang ini, dengan penyertaan aksesori ini, semestinya ianya membuatkan konsol Switch menjadi konsol seakan Nintendo DS ataupun Nintendo 3DS. Pada masa akan datang, mungkin juga Nintendo boleh membawa permainan-permainan dari 3DS ke konsol Switch, atas sebab aksesori ini.
Seperti biasa, kami akan kongsikan sebarang informasi lanjut setelah Nintendo mengumumkannya secara rasmi.