Life is Strange 2 merupakan permainan seterusnya untuk siri Life is Strange yang pertama kali dikeluarkan pada tahun 2015. Ia sekali lagi dibangunkan oleh Dontnod Entertainment dan diterbitkan oleh Square Enix.
Permainan ini mempunyai 5 episod dan episod pertama dikeluarkan bermula pada 27 September 2018 dan episod terakhir dikeluarkan pada 3 Disember 2019 untuk Playstation 4, Xbox One dan PC.
Membawa penceritaan dengan berlatar tempat dan juga watak baharu, adakah permainan ini mengekalkan kekuatan di permainan pertama dan pada masa yang sama membawa sesuatu yang baharu?

Cerita
Seperti permainan pertama, kali ini ia juga mengikut dua watak utama, namun ia adalah watak baharu, iaitu Sean Diaz dan adiknya Daniel Diaz. Kedua watak ini tidak langsung mempunyai perkaitan dengan watak Max dan Chloe daripada permainan sebelum ini walaupun ia berlaku di satu “dunia” yang sama. Anda akan sepenuhnya akan bermain sebagai Sean Diaz sepertimana anda bermain sebagai Max sebelum ini.
Mereka tinggal bersama dengan bapa mereka iaitu Esteban Diaz, manakala ibu mereka tidak lagi bersama dan sebabnya akan diketahui selepas anda maju di dalam permainan ini.
Selepas satu kejadian yang mengakibatkan seorang anggota polis mati termasuk juga ayah mereka, dalam keadaan panik Sean membawa Daniel melarikan diri kerana takut mereka akan dipersalahkan.
Pada masa sama, Sean juga menyedarinya yang Daniel mempunyai kuasa telekinesis dan lebih menguatkan tekad Sean untuk melarikan diri dan mereka merancang untuk pergi ke Mexico iaitu negara asal ayah mereka.

Di dalam perjalanan inilah, Sean dan Daniel terpaksa berdepan dengan pelbagai perkara baik dan buruk, rakan dan lawan serta gembira dan sedih di mana perhubungan antara seorang abang dan adik menjadi fokus utama.
Jika permainan pertama, Life is Strange membawa maksud mengenai Max yang mempunyai kuasa boleh mengundurkan masa dan bagaimana beliau menggunakannya untuk melakukan pelbagai “kekacauan” di persekitaran. Ia menghasilkan satu dunia yang aneh.
Manakala untuk Life is Strange 2, walaupun ia mengekalkan elemen sepertimana sebelum ini iaitu seorang watak mempunyai kebolehan luar biasa akan tetapi ia tidak lagi menjadi fokus.
Bagi aku, “strange” untuk permainan kedua ini adalah bagaimana sifat manusia yang prejudis, membenci seseorang hanya berdasarkan perkauman, layanan terhadap orang yang mengalami kesukaran dan juga mengenai manusia yang suka mengambil kesempatan. Strange bukan kerana kuasa tetapi strange kerana sifar manusia itu sendiri.
Ini membawa kepada satu penceritaan yang lebih matang dan juga lebih dekat dengan kejadian di dunia nyata. Walaupun kebanyakan kejadian adalah berdasarkan masalah di Amerika Syarikat akan tetapi ia bukanlah sesuatu yang asing tidak kira di mana pun kita berada. Serta sifar kemanusiaan itu adalah sesuatu yang universal. Apabila kita melihat kepada dunia sebenar, sesuatu yang sepatutnya jelas dipenuhi dengan pelbagai kekaburan, ia adalah satu dunia yang aneh.
Dengan penceritaan sebegini membuatkan aku lebih menghargai penceritaan yang cuba disampaikan. Perhubungan antara Sean Dan Daniel, perhubungan mereka dengan orang-orang lain, dan juga perhubungan mereka dengan masyarakat memperlihatkan kecantikan dan juga keburukan manusia, dan ia membawa ke satu pengalaman penceritaan yang bermakna.

Walaupun ada beberapa tempat merasa seperti terlampau ataupun terasa seperti satu syarahan, akan tetapi ia adalah sedikit dan kebanyakan tempat lain dilakukan dengan cukup baik.
Permainan ini juga menjadi pilihan moral sebagai topik “perbincangan” utama di dalam permainan ini. Adakah perkara yang benar sentiasa benar dan adakah perkara yang salah sentiasa salah? Aku sangat menyukai cara permainan ini sentiasa mempersoalkan moral anda.
Ini ditambah lagi dengan anda sebagai seorang abang kepada Daniel, setiap pilihan anda, setiap dialog serta setiap kelakuan akan memberi kesan kepada nilai moral Daniel dan apabila beliau perlu bertindak sendiri, nilai tersebut akan memainkan peranan dan anda tidak akan tahu apa yang berlaku.
Seperti satu dialog di dalam permainan ini di mana Sean mengatakan yang beliau mencuba yang terbaik untuk menunjukkan tauladan, tetapi dia tidak menjangkakan apa yang akan dilakukan oleh Daniel.
Manakala untuk pengakhiran pula, Life is Strange yang pertama menyertakan satu pengakhiran yang sangat menyentuh hati namun bagi aku hanya satu pengakhiran daripada dua yang disertakan dilakukan dengan baik, pengakhiran “alternatif” terasa sedikit gopoh, bahkan memerlukan komik untuk menyambungnya.
Manakala untuk pengakhiran di dalam Life is Strange 2, yang aku hanya katakan ada lebih daripada satu, setiap satunya dilakukan dengan baik dan memberi satu konklusi yang baik bergantung kepada pilihan pemain. Selepas ia berakhir, tiada satu pengakhiran yang terasa gopoh ataupun tergantung. Baik atau buruk adalah bergantung kepada kaca mata moral anda.

Bentuk Permainan
Seperti permainan pertama dan permainan-permainan lain yang bergenre sama, Life is Strange 2 mementingkan pilihan permainan di dalam pergerakan penceritaan. Setiap pilihan dialog akan menentukan reaksi serta tindakan yang akan dilakukan oleh Sean watak yang dikawal oleh pemain dan juga watak-watak lain terutamanya Daniel.
Bagi saya, pilihan-pilihan yang perlu dilakukan oleh pemain di dalam permainan ini, disertakan dengan baik. Ia jelas mengenai kesan serta akibat yang akan berlaku. Tidak banyak kejadian di mana apa yang kita jangkakan adalah sangat berbeza dengan apa yang berlaku.
Pilihan yang kecil juga ada yang akan memberi kesan yang sedikit tetapi masih menarik untuk diperhatikan.
Kebanyakan pilihan yang ada juga bermakna dan tidak banyak pilihan kosong yang sekadar hadir untuk memanjangkan permainan. Seperti saya terangkan di bahagian penceritaan, permainan ini banyak bermain dengan moral. Setiap pilihan pemain akan menentukan moral bukan sahaja untuk Sean tetapi juga untuk Daniel.
Mengawal Sean di dalam permainan ini, berasa sangat berbeza dengan mengawal Max di dalam permainan pertama kerana kebolehan luar biasa tidak lagi dilakukan oleh Sean sebaliknya kita sebagai pemain hanya dapat melihat sahaja.
Kelainan ini membawa sedikit kekurangan kepada kawalan Sean, sebelum ini mengawal Max adalah satu perkara yang seronok kerana dapat menggunakan kuasa. Namun, Sean terhad kepada pilihan dialog, pilihan melakukan akitviti tertentu dan mengembara sahaja. Ia terasa sedikit bosan.

Untuk menampung kekurangan tersebut, Sean diberikan pelbagai aktiviti sampingan seperti melukis, namun cara ia dilakukan tidak menarik. Walaupun dapat melihat lukisan yang cantik, tetapi cara untuk pemain “melukis” terasa sangat malas iaitu sekadar menggerakkan analog.
Satu lagi perkara yang boleh dilakukan oleh Sean adalah mencari collectible, dengan mengembara Sean boleh mencari pelbagai barangan yang boleh dijadikan sebagai kenangan, jika anda berhajat untuk mendapat platinum ia adalah aktiviti yang harus dilakukan.
Perkara yang menarik apabila mengawal Sean adalah apabila Sean perlu melakukan sesuatu tetapi disertakan dengan pelbagai pilihan. Contohnya melarikan diri, Sean boleh menggunakan cara yang cepat tetapi berbahaya, ataupun cara yang lambat tetapi lebih selamat. Ia memberikan perasaan yang lebih mencabar.
Saya boleh katakan, untuk bentuk permainan mengawal Max di dalam Life is Strange adalah lebih menarik tetapi pilihan yang disertakan di dalam Life is Strange 2 adalah lebih bermakna.

Grafik
Life is Strange 2 terus mengekalkan arahan grafik sepertimana Life is Strange iaitu bagaikan lukisan tangan. Namun, sebagai satu permainan baharu, ia sudah semestinya membawa pelbagai pembaharuan yang memberikan rekaan grafik lebih menarik.
Rekaan persekitaran adalah kekuatan utama untuk permainan ini. Tidak kira di mana tempat anda berada, ia direka dengan baik, teliti dan indah. Saya boleh katakan, setiap adegan adalah adegan yang anda boleh jeda permainan untuk menangkap paparan skrin untuk dijadikan sebagai wallpaper.
Selain itu saya juga sangat menyukai dengan rekaan watak yang pelbagai tetapi terasa satu rekaan yang asli tidak terlalu pelik dan tidak juga membosankan. Kebanyakan watak direka dengan baik memberi personaliti tersendiri setiap-nya.

Namun, ia juga mempunyai pelbagai kekurangan antaranya adalah ekspresi muka serta pergerakan badan, ada masa tidak sama dengan dialog ataupun reaksi yang cuba disampaikan. Ia menjadikan sesuatu adegan tersebut nampak aneh.
Ia juga mempunyai masalah tekstur yang lambat untuk dipaparkan, menjadikan persekitaran nampak tidak menarik. Saya bermain permainan ini sepenuhnya di PlayStation 4 Pro, tetapi saya merasakan ia juga berlaku di platform-platform lain.
Permainan ini banyak menyertakan adegan peralihan di mana ia sekadar memaparkan persekitaran yang ditemani dengan muzik latar. Saya sangat menyukainya, akan tetapi apabila mempunyai masalah tekstur ia mengganggu pengalaman adegan tersebut.
Audio
Perkara pertama yang membuatkan saya tertarik dengan Life is Strange adalah pilihan muzik latar yang digunakan di dalam permainan tersebut. Life is Strange 2 mengekalkan daya tarik tersebut.
Muzik-muzik yang disertakan sangat mengasyikkan, disertakan dengan rekaan grafik yang saya terangkan di atas, ia memberikan satu pengalaman yang sangat tenang.
Ini ditambah lagi di mana, permainan ini menyertakan beberapa adegan peralihan yang mengguna-pakai muzik latar dengan baik sekali. Walaupun ia tidak sebaik permainan pertama daripada segi pilihan muzik, tetapi ia masih playlist yang akan saya simpan di dalam Spotify.
Seperti yang saya jelaskan di bahagian grafik, setiap watak yang ada di dalam permainan ini direka memberi personaliti tersendiri, ia juga dibantu dengan lakonan suara yang sangat baik. Mengekalkan persekitaran remaja seperti permainan sebelum ini, penulisan masih lagi berjaya membawa satu pengalaman yang bagi saya adalah tepat dan tidak terasa janggal.
Rumusan
Akhir kata, Life is Strange 2 adalah satu permainan yang menyertakan penceritaan lebih baik dan lebih matang berbanding permainan pertama. Pilihan-pilihan yang perlu dilakukan oleh pemain juga lebih bermakna yang membawa kepada pengakhiran yang lebih baik walaupun tidak mempunyai impak emosi seperti pengakhiran permainan pertama.
Perkara yang di atas serba sedikit ditarik ke bawah dengan bentuk permainan yang membosankan terutama kerana pemain tidak lagi dapat mengawal kuasa dan juga masalah grafik, seperti masalah tekstur yang lambat dikeluarkan.
Namun, secara keseluruhan ia masih satu permainan yang baik untuk siri Life is Strange dan juga untuk genre ini. Jika anda meminati sama-ada siri ataupun genre seperti ini, Life is Strange 2 adalah satu permainan wajib dicuba oleh anda.
