Emote sudah menjadi perkara yang sangat penting untuk Fortnite, dan Epic Games sentiasa mencari idea/tarian baharu untuk dijadikan sebagai emote di dalam permainan pertempuran royale tersebut.

Minggu ini mereka mengumumkan kerjasama bersama dengan TikTok iaitu media sosial perkongsian video pendek untuk memberi peluang pengguna TikTok melakukan tarian asli dan berpeluang untuk diabdikan sebagai emote buat Fortnite.

Ia adalah terbuka untuk semua yang berumur 13 tahun dan ke atas. Cara untuk menyertai adalah anda hanya perlu memuat naik tarian ataupun pergerakan asli di aplikasi TikTok dan menggunakan tanda pagar “#EmoteRoyaleContest”.

Video tersebut mesti tidak lebih daripada 15 saat dan menggunakan muzik khusus iaitu “Emote Music” yang boleh didapati melalui TikTok ataupun memuat turun melalui pautan ini.

Untuk maklumat lanjut serta syarat-syarat penyertaan anda boleh membacanya di laman rasmi Fortnite. Hadiah untuk video yang dipilih adalah 25,000 V-Bucks dan pelbagai barangan seperti beg dan hoodie.

Fortnite x TikTok: #EmoteRoyaleContest

Sohor Kini