Permainan Monster Hunter World semestinya satu permainan oleh Capcom yang mempunyai kejayaan yang besar di mana siri tersebut kini bukan sahaja adalah permainan terlaku oleh mereka, malah ianya juga mendapat sambutan yang sangat baik selepas baru sahaja melancarkan penambahan Iceborne di PC awal bulan ini.
Terkini, Capcom tampaknya akan meneruskan kejayaan mereka di mana di acara khas Monster Hunter Fest 19-20 yang berlangsung di Jepun minggu ini, mereka berkongsi beberapa perancangan kandungan akan datang buat permainan tersebut.
Pertama sekali, bagi versi konsol mereka mengesahkan pelbagai kemaskini akan dilancarkan setiap bulan di mana salah satunya adalah acara ljas Astera/Seliana Fest dan Grand Appreciate Fest akan diadakan bermula 24 Januari ini sehingga 13 Februari. Mereka juga mengesahkan lapisan perisau baharu akan diperkenalkan juga pada Januari tersebut.
Selain daripada penyertaan raksasa baharu, Capcom juga menjanjikan pelbagai kemaskini akan dilancarkan sepanjang tahun ini yang mana menariknya sekali, pada bulan Mei ini mereka akan membawa kembali salah satu raksasa yang dinantikan oleh peminat.
Selain itu, Capcom juga akan mempercepatkan kandungan-kandungan tambahan buat pemain PC, memandangkan mereka baru sahaja menerima penambahan Iceborne awal bulan ini di mana menjelang April ini, Capcom merancang untuk kandungan PC dan konsol akan disegerakkan dengan kandungan yang sama.
Semestinya ini adalah satu pengumuman yang sangat menarik dan mungkin pada masa akan datang, dengan kandungan yang sama buat kesemua platform, kita mungkin akan menerima sokongan rentas-platform pada masa akan datang. Meskipun begitu, buat masa ini Capcom masih belum berkongsi sebarang informasi berkenaannya.
Monster Hunter World: Iceborne telah pun dilancarkan di konsol dan PC yang mana ianya adalah permainan pengembaraan dan pemburuan raksasa yang memfokuskan bentuk multi-pemain yang sangat baik sekali oleh Capcom.