Skip to main content

November lepas, kami melaporkan yang mana permainan Devil May Cry 3: Special Edition akan dilancarkan di konsol Switch pada bulan Februari ini. Terkini, Capcom berkongsi beberapa informasi lanjut berkenaan permainan, termasuklah satu fungsi khas yang dihasilkan khas melalui versi konsol Switch ini.

Seperti anda tahu, permainan Devil May Cry 3 mempunyai enam gaya tempur berbeza yang mana setiap satunya mempunyai fungsi dan serangan berbeza, terutamanya jika digunakan bersama sebilangan senjata-senjata yang terdapat di dalam permainan. Namun, permainan tersebut berasa agak terhad memandangkan gaya tersebut hanya boleh ditetapkan ketika awal permulaan setiap misi permainan sahaja.

Menariknya, melalui versi Switch ini, Capcom akan sertakan fungsi di mana pemain berupaya untuk menukar terus gaya tempur tersebut dengan menggunakan D-Pad, seperti mana permainan Devil May Cry 4 dan Devil May Cry 5.

Menurut Capcom, gaya tersebut akan ditetapkan seperti mana permainan Devil May Cry 4 untuk setiap gaya tempur seperti D-Pad atas untuk gaya Trickster, D-Pad bawah untuk Royal Guard, D-Pad Kiri untuk Gunslinger dan D-Pad kanan untuk Swordmaster. Selain itu bagi dua gaya tambahan iaitu Doppelganger dan Quicksilver ianya boleh diakses dengan menekan dua kali untuk D-Pad kiri dan kanan.

Semestinya dengan tibanya fungsi ini, pemain akan berupaya untuk menaik-taraf kesemua gaya tempur tersebut secara terus tanpa perlu mengubahnya sebelum misi permainan.

Buat masa ini, fungsi ini adalah eksklusif buat permainan ini bagi versi Switch dan Capcom tidak berkongsi sama ada fungsi ini akan tiba bagi permainan Devil May Cry 3: Special Edition yang telah dilancarkan di konsol lain.

Devil May Cry 3: Special Edition bagi konsol Switch akan tiba pada 20 Februari 2020 ini.

Leave a Reply