Skip to main content

Disember lepas, kami berpeluang ke acara penutup Indie Games Accelera tor oleh Google bagi tahun 2019, di mana acara tersebut berlangsung di Singapura, iaitu di Google Asia Induk.

Bagi anda yang tidak mengetahui berkenaan platform Indie Games Accelerator, ianya adalah satu program khas di bawah Google di mana mereka akan membantu pembangun dari segi bimbingan, bengkel latihan dan pelbagai sokongan untuk membantu pembangun dari segi pembinaan, pembangunan dan pelancaran permainan mudah-alih di Android.

Kali ini, selain dari memfokuskan negara dari Asia Tenggara, Google juga membawa beberapa negara dari Amerika Selatan seperti Argentina, Brazil dan sebagainya.

Meskipun begitu, semestinya tumpuan utama kami adalah pembangun dari Malaysia iaitu Xhinobi, di mana mereka membawa permua Zombie Friends Idle, iaitu satu permua yang memfokuskan bentuk strategi yang boleh dimainkan secara bersahaja di peranti telefon pintar.

Kami juga berkesempatan untuk menemu-bual Kar Yean iaitu pengasas Xhinobi di mana beliau berkongsi sedikit sebanyak berkenaan program Indie Games Accelerator dan juga permua beliau.

Menurut beliau, permua Zombie Friends Idle semestinya satu permua bergenre lahu yang sesuai untuk semua pemain kini dan pada masa yang sama beliau berkongsi bagaimana program Indie Games Accelerator tersebut banyak membantu beliau untuk pelancaran permua ini.

Semestinya Zombie Friends Idle bukanlah permua pertama yang dihasilkan oleh Xhinobi dan mereka sebelum telah melancarkan pelbagai permua lain seperti Capshot.

Memandangkan program tersebut memfokuskan permua ini, semestinya kami juga ingin berkongsi dengan lebih lanjut berkenaan permua Zombie Friends Idle ini, iaitu ia adalah satu permua yang memfokus bentuk permainan secara bersahaja.

Ini kerana permua ini adalah ringkas dan sangat sesuai untuk dimainkan tanpa perlu meluangkan terlalu banyak masa. Dengan konsep zombi, pemain juga boleh dapatkan pelbagai jenis watak dan menariknya, Xhinobi juga menyertakan pelbagai elemen-elemen dari Malaysia seperti watak yang mempunyai senjata congkak dan sebagainya.

Salah satu kesukaan saya adalah permua ini juga membenarkan pemain untuk bijak mengurus watak-watak yang diletakkan untuk menumpas musuh. Namun setelah pemain selesai menyusun, pemain boleh teruskan tinggal permua tersebut dan ia akan terus dimainkan secara automatik. Ini sekaligus membuatkan pemain masih lagi akan mendapatkan pelbagai ganjaran dan kemajuan walaupun tidak bermain permua tersebut secara langsung.

Dari segi aspek rekaan watak dan audio, Xhinobi semestinya menghasilkan satu permua yang sangat bagus dengan elemen visual yang sangat menawan. Menariknya, bagi anda yang menyukai beberapa elemen ‘jenaka’ di internet, anda juga pasti akan menemui beberapa watak yang berdasarkan daripada dunia nyata, yang pasti akan membuat pemain tertawa.

Kami sendiri mengesyorkan anda untuk mencuba Zombie Friends Idle di mana ia boleh dimuat-turun secara percuma melalui pautan di bawah.

[download] Muat-Turun Android: Zombie Friends Idle [/download]

Selain itu, ketika sesi temu-bual kami bersama Kar Yean, beliau juga menyatakan bahawa syarikat beliau masih mencari pembangun dan terdapat beberapa jawatan kosong. Untuk informasi lanjut berkenaannya anda boleh ke laman rasmi Xhinobi di bawah.

[info] Layari: Xhinobi[/info]

Leave a Reply