Seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum ini, Atlus akan melancarkan permainan baharu berdasarkan siri Persona 5 yang dibangunkan oleh Omega Force, iaitu Persona 5 Scramble: The Phantom Strikers.
Seperti permainan yang dibangunkan oleh Omega Force sebelum ini, Persona 5 Scramble: The Phantom Strikers akan memfokuskan bentuk permainan beraksi dan berlainan berbanding permainan asal Persona 5. Menariknya juga, berdasarkan beberapa laporan sebelum ini, permainan ini juga disahkan sebagai permainan sekuel utama selepas pengakhiran Persona 5.
Terkini, Atlus akhirnya berkongsi satu video khas, iaitu video pembukaan permainan tersebut yang mana ianya memaparkan beberapa watak baharu, watak Phantom Thief yang akan kembali dan juga muzik latar baharu.
Buat masa ini, permainan ini hanya akan tiba di pasaran Jepun bermula 20 Februari 2020 ini. Dari segi pasaran global, ianya masih belum diumumkan.