Masahiro Ito merupakan salah seorang pereka makhluk dan pengarah seni buat siri Silent Hill beberapa tahun lepas. Antara karya terkini beliau merupakan makhluk-makhluk yang terdapat di dalam permainan Metal Gear Survive yang dilancarkan beberapa tahun lepas.
Terkini melalui akaun rasmi Twitter beliau, Masahiro Ito mengacahkan yang mana beliau sedang terlibat dengan projek baharu dan merupakan salah seorang daripada ahli “teras”.
Apa yang menarik minat kami adalah kenyataan beliau seterusnya adalah beliau menyatakan beliau berharap agar projek tersebut tidak akan dibatalkan. Ini sekaligus membuatkan kami mengesyak bahawa projek tersebut mungkin adalah siri Silent Hill seterusnya.
Seperti anda sedia maklum, PT ataupun Playable Teaser yang dilancarkan beberapa tahun lepas merupakan permainan Silent Hill oleh Hideo Kojima dan Guilllermo Del Toro. Permainan tersebut semestinya salah satu permainan yang mendapat perhatian ramai dengan kandungan menyeramkan yang sering dibincangkan sehingga hari ini, namun dukacitanya permainan tersebut dibatalkan oleh Konami.
Dengan sejarah buat siri Silent Hill bersama Masahiro Ito dan Konami, kami percaya ianya mereka mungkin berminat untuk membawanya kembali terutamanya untuk konsol generasi seterusnya.
Walaubagaimana pun, buat masa ini Masahiro Ito dan Konami masih belum berkongsi sebarang informasi lanjut dan seperti biasa kami akan mengemaskininya setelah ia diumumkan secara rasmi.