Bandai Namco telah berkongsi pelbagai maklumat mengenai permainan Dragon Ball Z: Kakarot seperti kelebihan menggunakan 7 mutiara naga, bentuk watak sokongan, dan pelbagai informasi lain lagi.

Hari ini, mereka berkongsi pula mengenai peningkatan tahap watak yang disertakan di dalam permainan ini. Sebagai satu permainan RPG ia adalah satu perkara asas.
Mengikut video yang dikongsi, untuk meningkatkan tahap, seperti biasa pemain perlu bertempur dan mendapatkan mata pengalaman, apabila jumlah mata mencukupi tahap pemain akan meningkat.

Selain itu, pemain juga boleh memakan pelbagai makanan, sama ada dengan memasak sendiri ataupun meminta watak-watak tertentu untuk memasaknya. Setiap makanan mempunyai kelebihan tersendiri seperti meningkatkan kebolehan secara sementara dan juga secara tetap. Pemain boleh dapatkan bahan untuk masakan dengan mengembara ataupun menyelesaikan misi tertentu.

Pemain juga boleh mengembara untuk mencari Power Orbs yang terdapat di sekitar dunia permainan ini. Pemain boleh menyah-kunci pelbagai kuasa dan meningkatkan kebolehan menggunakan Orbs tersebut, ada juga kuasa yang memerlukan pemain untuk melakukan latihan khusus bagi mendapatkannya selain mempunyai orbs yang mencukupi.

Cara terakhir adalah papan komuniti, apabila pemain maju di dalam penceritaan serta dengan melakukan misi sampingan, pemain akan memperoleh Soul Emblem untuk watak-watak tertentu. Emblem ini boleh digunakan di dalam papan komuniti yang akan memberi pelbagai kelebihan. Dengan meletakkan Emblem watak tertentu bersama dengan watak lain juga mungkin akan memberikan dialog istimewa selain memberi kelebihan yang lebih baik.
Berdasarkan apa yang diperlihatkan serta perkongsian sebelum ini, kami boleh katakan yang permainan ini mempunyai pengisian yang agak mendalam dan mempunyai banyak aktiviti sampingan.
Jika anda ingin menonton sendiri video yang dikongsi, kami sertakan di bawah. Dragon Ball Z: Kakarot akan dikeluarkan untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC pada 17 Januari 2020.