Informasi Permainan Video Terkini
Ulasan Tools Up! – Permainan Simulasi Casa Impian Yang Hanya Seronok Bersama Rakan

Ulasan Tools Up! – Permainan Simulasi Casa Impian Yang Hanya Seronok Bersama Rakan

Diterbitkan pada Jan 9, 2020 oleh .

Permainan koperasi dan simulasi semestinya satu kombinasi permainan parti yang sangat berkesan di mana siri Overcooked! yang diulaskan oleh kami sebelum ini sememangnya salah satu permainan yang kami amat menyukai sehingga kini sebagai satu permainan parti untuk dimainkan bersama-sama rakan mahupun keluarga.

Dengan formula yang sama, semestinya kami berminat untuk mencuba bentuk simulasi yang berbeza di mana keinginan kami tercapai melalui permainan seterusnya oleh The Knights Of Unity dan All in! Games, iaitu Tools Up!

Tools Up! merupakan permainan koperasi simulasi yang seakan sama dengan Overcooked! namun ianya memfokuskan bentuk menghiaskan dalaman rumah seperti mengecat, memasang karpet dan sebagainya. Dari segi aspek permainan, ianya mempunyai bentuk multi-pemain sehingga 4 pemain dan beberapa peringkat permainan.

Permainan ini dilancarkan Disember lepas di konsol PlayStation 4, Xbox One, Switch dan PC melalui Steam. All In! Games iaitu penerbit permainan tersebut memberi kami peluang untuk mengulas permainan ini di konsol Switch dan ini adalah ulasan kami.

Kawalan Permainan

Memandangkan permainan ini tidak mempunyai sebarang penceritaan utama, kami mengambil keputusan untuk terus ke kawalan permainan yang mana saya boleh katakan terdapat beberapa perkara yang agak mengecewakan berkenaan permainan ini.

Saya akui, konsep permainan koperasi dengan bentuk simulasi menghias rumah adalah satu bentuk yang sangat menarik dan jika bermain bersama-sama rakan, ianya pasti adalah satu permainan yang sangat menarik sekali dan pasti akan memberi riang ketawa ketika bermainnya.

Walaupun begitu, mari saya terangkan dahulu premis permainan ini. Tools Up! meletakkan pemain untuk menghias rumah dengan melakukan sebilangan tugasan yang diberi melalui pelan yang terdapat di dalam permainan ini. Pelan tersebut boleh dikutip di atas lantai pada permulaan setiap peringkat permainan yang mana ianya akan memperlihatkan kawasan ataupun bilik yang memerlukan rekaan semula sama ada mengecat dinding, meletakkan latar belakang, memasang karpet di lantai dan sebagainya.

Dari segi kawalan, ianya gak asas di mana pemain boleh mengutip barang seperti simen, cat, sampah dan memasangnya di dinding. Pemain juga boleh baling barangan-barangan tersebut untuk memudahkan pemain berikan kepada pemain lain ataupun membuangnya daripada menghalang jalan ataupun mengemaskan barangan pada penghujung peringkat.

Bercakap berkenaan penghujung peringkat, apa yang membuat permainan ini unik adalah pemain perlu mengemas kelengkapan-kelengkapan pemain setelah pemain selesai menghiaskan bilik-bilik tersebut. Semestinya konsep ini agak menarik, tetapi ianya agak menyusahkan jika dibuat berulang kali setiap peringkat.

Dari segi misi lain, setiap kali pemain melengkapkan misi-misi yang tersedia di pelan yang diberi, pemain akan diberi markah dan berdasarkan nilai markah tersebut, pemain akan mendapat jumlah bintang, yang mana ianya akan digunakan untuk menyah-kunci peringkat permainan seterusnya.

Pemain juga akan bergerak mengikut tingkat-tingkat satu rumah pangsapuri dengan lif, untuk memilih peringkat permainan yang tersedia. Konsep ini agak comel, namun agak ringkas dan menyusahkan memandangkan terdapat beberapa saat di mana pemain tidak akan mengetahui keperluang bintang untuk ke peringkat seterusnya selagi pemain tidak ke pintu rumah peringkat tersebut.

Semestinya dari segi aspek kawalan dan kandungan permainan, ianya sangat asas dan boleh dikatakan satu permainan yang ‘cukup makan’ tanpa sebarang bentuk yang terlalu kompleks.

Akan tetapi, apa yang membuatkan permainan ini agak mengecewakan adalah terdapat beberapa aspek kawalannya yang agak menyusahkan. Perkara pertama yang saya sangat membenci permainan ini adalah aspek kameranya yang agak terhad. Ini kerana, untuk menukar arah kamera, seorang pemain perlu memegang pelan rumah, yang mana ianya agak menyusahkan jika anda sedang bertungkus lumus untuk cepat menghiaskan rumah tersebut.

Selain itu memandangkan masa sangat penting di dalam permainan ini, untuk menukar arah kamera berasa satu kerja rumah yang sangat menyusahkan. Akan tetapi bentuk penukaran kamera juga sangat penting di dalam permainan ini memandangkan kamera permainan ini diperlihatkan dari atas, dan jika pemain lihat di paparan skrin yang dikongsikan oleh kami, terdapat beberapa bahagian rumah yang terlindung dengan dinding permainan, sekaligus pemain perlu sentiasa mengubah kamera untuk melihat dinding yang perlu dihias ataupun mencari barangan-barangan yang terselindung dinding tersebut.

Tugas ini juga berasa sangat berulangan dan jika anda bermain secara seketika, ianya mungkin berasa tidak begitu sukar. Namun, jika diteruskan bermain berulang kali setiap peringkat, ianya berasa sangat membosankan.

Dari segi aspek kawalan pula, permainan ini sememangnya mempunyai kawalan yang ringkas seperti saya terangkan di atas. Akan tetapi, terdapat beberapa saat saya berasa permainan ini agak menyusahkan dari segi kawalan tersebut.

Ini kerap kali berlaku kepada saya jika saya ingin melakukan satu tugas, contohnya seperti memasang karpat, namun terdapat tong cat yang berada di lokasi yang sama. Jika saya tersilap memilih sasaran aksi yang ingin saya lakukan, karpet tersebut akan dimasukkan di dalam tong cat tersebut, sekaligus menjadikan tong cat tersebut sebagai satu tong sampah. Ini bukan sahaja membuangkan masa saya untuk membuang keseluruhan sampah tersebut di tong sampah besar di luar rumah, malah sampah yang terkumpul di dalam tong cat tersebut akan menjadi banyak, sekaligus membuatkan tong tersebut tidak langsung boleh digunakan sebagai tong cat, selagi saya tidak membuang sampah tersebut.

Perkara yang sama akan berlaku di dalam tugasan-tugasan lain, akibat sasaran watak yang dimainkan agak kurang tepat dan pada sesetengah masa, permainan ini agak menyusahkan dan menjengkelkan kerana pemain perlu pantas melakukan tugasan menghiaskan rumah tersebut disebabkan masa, namun pada masa yang sama permainan ini memerlukan pemain untuk tepat memilih sasaran untuk melakukan sebarang aksi, yang mana membuatkan aliran permainan ini agak terbantut dan perlahan.

Selain itu, bahan-bahan dan kelengkapan di dalam permainan ini juga akan diberi secara rawak di mana terdapat penghantar barang akan hantar bahan tersebut secara berperingkat. Konsep ini agak menarik memandangkan pemain bukan sahaja perlu bijak mengurus masa, malah pemain juga perlu bijak membahagi tugas dengan pemain lain untuk membuat tugasan yang beri.

Walaubagaimana pun, ianya tidaklah membawa sebarang pengalaman yang terlampau unik, namun konsep ini masih lagi memberi sesuatu yang baru untuk permainan bergenre ini.

Seperkara lagi masalah adalah permainan ini tidak mempunyai sebarang bentuk multi-pemain secara atas-talian. Sekaligus buat anda yang tidak mempunyai rakan ataupun bermain secara solo, permainan ini akan berasa agak menyusahkan dan membosankan.

Pada pendapat saya, semestinya Tools Up! ini adalah satu permainan yang anda perlu bermain secara multi-pemain sahaja, namun dalam tempoh masa yang pendek kerana setiap peringkat berasa agak berulangan.

Semestinya setelah pemain meneruskan permainan ini ke peringkat lebih tinggi, pemain akan dapat pelbagai tugasan baharu seperti memasang latar belakang dinding dengan menggunakan gam dan sebagainya, namun secara keseluruhan, ianya tidaklah mengubah bentuk asas permainan, malah pemain hanya akan melakukan perkara sama dengan mengambil bahan, melekatkan bahan tersebut di sasaran dinding atau lantai, dan itu sahaja.

Kandungan Permainan

Semestinya tanpa bentuk penceritaan utama, permainan ini berasa sedikit ringkas dan hambar. Saya akui permainan dihasilkan sebagai satu permainan parti simulasi yang seronok dimainkan secara multi-pemain, akan tetapi ianya agak mengecewakan beberapa aspek kandungan untuk bermain secara solo tidak dihasilkan dengan baik.

Akan tetapi dari segi peringkat permainan, permainan ini semestinya mempunyai jumlah peringkat yang banyak dan pasti akan menghiburkan anda selama berjam-jam sesi permainan. Menariknya setelah anda ke bahagian yang lebih jauh di dalam permainan ini, ianya juga menyertakan pelbagai tema yang menarik seperti tema Halloween dan bersalji.

Namun memandangkan setiap perubahan peringkat permainan terlalu minima, ianya berasa permainan ini masih memerlukan beberapa kandungan untuk membuatnya lebih seronok dan lebih unik berbanding permainan parti lain.

Grafik

Dari segi visual grafik, tidak banyak yang saya boleh katakan. Semestinya arah seni permainan ini sangat ringkas dan mengingatkan kami dengan satu lagi permainan simulasi parti yang sering kami katakan iaitu Overcooked!.

Walaupun begitu, semestinya Tools Up! mempunyai visual dan rekaannya yang tersendiri dan kami menyukai apa yang dibawahkan oleh Knights Of Unity, tetapi kami juga berharap agar mereka mengembangkan lagi dengan pelbagai jenis rekaan dan pentas atau peringkat permainan yang lebih menarik. Ini kerana setiap peringkat mempunyai rekaan yang hampir sama dan juga dimainkan berulang kali, ianya berasa agak hambar.

Dari segi prestasi permainan, ketika kami bermainnya di konsol Switch, ianya berasa sangat lancar tanpa sebarang masalah mahupun bermain di TV ataupun secara mudah-alih. Semestinya permainan ini mempunyai beberapa skrin permuatan, namun ianya tidaklah berasa begitu lama dan segala sesi permainan kami memuaskan.

Audio

Dari segi muzik, saya boleh katakan permainan ini berasa agak biasa tnapa sebarang muzik yang menarik. Terdapat beberapa muzik-muzik yang berbeza mengikut peringkat permainan, namun secara keseluruhan ianya tidaklah mempunyai sebarang muzik yang unik bahkan saya sendiri tidak berasa begitu asyik dengan muzik ini berbanding permainan parti lain.

Meskipun begitu, saya menyukai di mana permainan ini mempunyai muzik berbeza jika peringkat permainan tersebut hujan ataupun bersalji, yang mana ianya sedikit sebanyak memberi pengalaman yang agak berbeza. Namun secara keseluruhan, muzik permainan ini boleh dikatakan satu persembahan audio yang baik tanpa sebarang masalah besar.

Dari segi audio efek permainan, ianya tidaklah terlalu menonjol, dan kebanyakan kesan audio yang dimainkan hanya sekadar ada tanpa sebarang masalah. Jadi apa yang saya boleh katakan, permainan Tools Up! ini sememangnya mempunyai kesan audio dan muzik yang baik, tanpa sebarang aduan besar oleh saya.

Rumusan

Apa yang saya boleh simpulkan adalah Tools Up! semestinya adalah satu permainan yang mempunyai konsep permainan parti dan koperasi yang sangat seronok sekali jika dimainkan secara beramai. Namun akibat beberapa masalah kawalan yang terhad dan agak menyusahkan. ianya menyebabkan permainan ini berasa sukar untuk dimainkan.

Tambahan itu, permainan ini juga tidak diterjemahkan dengan baik jika pemain yang ingin bermain secara solo yang mana ianya membuatkan permainan ini terlalu bergantung terhadap aspek bentuk multi-pemain.

Oleh sebab itu, saya berasa permainan ini bukanlah satu jenis permainan untuk dimainkan dengan tempoh masa yang lama. Ianya sememangnya satu permainan parti yang pemain boleh main bersama rakan ataupun keluarga untuk beberapa peringkat sahaja dalam tempoh masa yang pendek, untuk betul-betul menikmati permainan inni.

Semestinya Tools Up! adalah satu permainan yang berpotensi dan kami berharap agar pembangun membawa lebih banyak pernaik-tarafan yang lebih bagus untuk permainan akan datang mereka.

Penafian: Kod permainan untuk Tools Up! disediakan oleh All In! Games.


TIPS & ULASAN